Setelah kembali dari menziarahi makam ayahnya dan juga setelah peristiwa sedih yang berlaku kepada diri Nabi saw iaitu kehilangan Ibunya yang tercinta, Nabi saw telah dibawa dan dipelihara oleh datuknya iaitu Abdul Muttalib. Walaupun ketika itu umur Abdul Muttalib mencecah 78 tahun, dia tidak pernah terasa terbeban dengan memelihara Nabi saw. Bahkan dia sangat kasih dan sayang pada cucunya itu seperti dia sayangkan anak-anaknya yang lain. Maka tinggallah Nabi bersama datuknya dan juga bapa-bapa saudaranya dan juga ibu-ibu saudaranya dalam keadaan yang baik. ketika itu juga Abdul Muttalib mempunyai anak yang lebih kurang sebaya dengan Nabi saw iaitu Hamzah dan al-Abbas. Nabi tidak terasa terlalu terasing kerana mempunyai rakan sebaya untuk bermain-main. walaupun mereka itu sebenarnya adalah pangkat bapa saudaranya.
Abdul Muttalib sangat sayang kan Rasulullah saw, sehingga jika dia memanggil Nabi, dia memanggil "anakku" dan bukannya "cucuku".
pernah diriwayatkan dalam satu kisah dimana menunjukkan layanan datuk Nabi saw terhadapnya sangat istimewa. Dalam seminggu atau sebulan sekali, Abdul Muttalib akan duduk disisi Baitillah untuk memberi nasihat sambil dikelilingi oleh 10 orang anaknya lelakinya. Disitu disediakan hamparan yang istimewa untuk Abdul Muttalib dan kemudian di sediakan juga hamparan-hamparan untuk anak-anak lelakinya yang 10 orang itu. Dan anak-anaknya tidak pernah duduk di atas hamparan yang disediakan untuk Abdul Muttalib.
Pada suatu hari, Nabi masuk ke Masjidil Haram dan terus ke tempat duduk atau hamparan yang di khaskan untuk datuknya, disebabkan hamparan yang lain telah pun dipenuhi oleh bapa-bapa saudaranya yang lain.
Nabi terus saja duduk di atas hamparan itu, dengan segera bapa-bapa saudaranya menegah perbuatan Nabi itu.
Tapi dengan cepat Abdul Muttalib berkata pada anak-anaknya yang menegah perbuatan cucunya itu...
"Biarlah anakku ini, dia suka kepada kebesaran..."
Abdul Muttalib sangat sayang pada Nabi hingga terubat sedikit sebanyak penderitaan Nabi atas kehilangan Ayah dan ibunya. Dia telah di pelihara oleh datuknya untuk tempoh 2 tahun iaitu dari umur 6 hingga 8 tahun.
Setelah Nabi merasai kasih sayang Datuknya seperti tiada bandingnya itu. tiba-tiba meninggal lah pula Abdul Muttalib. Betapa sedihnya Nabi saw mengenangkan nasibnya yang tak sudah-sudah di timpa derita. Kesedihannya terhadap pemergian datuknya lebih pedih jika di bandingkan dengan kematian Ayahnya.
Abdul Muttalib sempat mewasiatkan supaya cucunya itu dipelihara oleh Abu Talib saudara seibu dan sebapa dengan Abdullah ayah Nabi saw.