Saturday, March 10, 2012

0033 Peperangan Fijar

Tidak dapat diceritakan secara terperinci tentang kehidupan zaman remaja Rasulullah saw oleh kerana terlalu sedikit risalah atau hadith terkumpul mengenai perkara itu. Tidak wajar kita berkongsi sesuatu yang bukan dalam perkara yang sahih, yang disepakati oleh ulamak-ulamak hadith dan tafsir. Jadi disini hanya diceritakan beberapa hal dan peristiwa yang terjadi dalam usia remaja Rasulullah saw yang di anggap penting dan ianya diceritakan oleh Rasulullah saw sendiri kepada sahabat.

Perang Fijar terjadi apabila dua orang Arab dari dua kaum iaitu Bani Hawazin dan Bani Kinanah, saling bersaing untuk membawa barang dagangan Raja Hirah untuk diniagakan di Pasar Ukaz.

Wakil bagi kaum Hawazin yang bernama Urwah al-Rahhal dan al-Barrad bin Qais menjadi wakil untuk suku kaum Kinanah yang ketika itu bersekutu dengan kaum Quraisy, saling menjual kelebihan masing-masing bagi meraih tugasan yang dianggap menguntungkan itu, dari Raja an-Nu'man bin Munzir, raja dan pemerintah Hirah ketika itu. setelah belarutan beberapa lama, Raja Hirah membuat keputusan untuk memilih Urwah al-Rahhal untuk tugasan itu. Disebabkan keputusan itu, maka wakil suku kaum Kinanah, iaitu al-Barrad bin Qais menjadi marah dan timbul rasa dengki dalam dirinya. Tambahan pula dia adalah seorang peminum arak dan membuat pelbagai kegiatan jahat, merasakan dia perlu melakukan sesuatu untuk melepaskan rasa marahnya itu. Berikutan hal itu al-Barrad telah membunuh Urwah... dan melarikan diri. Perbuatan al-Barrad itu telah membangkitkan kemarahan puak Hawazin. Lalu mereka melancarkan serangan keatas kaum Kinanah dan Quraisy disebabkan perbuatan seorang yang jahat dalam kaum itu. Demi mempertahankan diri kedua-dua kaum itu melancarkan serangan balas untuk mempertahankan diri. maka terjadilah peperangan Fijar.



Fijar bermaksud Meletus. peperangan ini sepatutnya tidak terjadi pada bulam haram. ini kerana bulan haram adalah bulan yang sangat dihormati oleh orang-orang Arab.

Dalam tempoh 4 bulan Haram ini kegiatan penduduk mekah seperti berniaga, dan sebagainya digandakan dari bulan-bulan lain kerana dalam bulan ini tiada peperangan berlaku.
Oleh kerana aman dan tenteram yang diperolehi dalam bulan itulah, menyaksikan pasar-pasar seperti Ukaz, Dzul Majjaz dan Mujannah sesak dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

Ketika itu jugalah para seniman yang masyhur akan bergerak dan melakukan aktiviti mereka seperti nyanyian syair dan sebagainya. Di samping itu juga para Rahib dan Pendita dan para ketua ajaran-ajaran lain akan memperkenalkan agama dan kepercayaan mereka kepada orang ramai.

Sebelum terjadinya perperangan fijar yang besar. Perang fijar secara kecil-kecilan telah pun berlaku dan ia tidak disertai oleh Nabi saw. Oleh kerana punca pertelingkahan yang berlaku sangat pelik dan lucu maka ia tidaklah melarat hingga menyebabkan peperangan besar seperti yang disertai oleh Nabi saw.

Perang fijar pertama meletus melibatkan pertempuran antara Kabilah Kinanah dan Hawazin.
pertelingkahan ini terjadi apabila Badar bin Masyar seoarang pembaca sajak dan syair menghunuskan sebilah pedang yang tajam dan berkata:

"Aku adalah orang yang paling terhormat!
Sesiapa yang menolak pengakuan ku ini,
akan ku tebas dengan pedang ini,
aku akan beri kau rasa betapa tajamnya senjata ku ini"

Ketika itulah seorang lelaki bangkit dan melibas kaki Badar hingga putus keduanya. Disebabkan peristiwa itu berlakulah perang Fijar pertama yang dapat dihentikan sebelum sesiapa terbunuh.

Perang yang kedua yang terjadi dalam bulan haram mengisahkan seorang perempuan yang sangat cantik dari Bani Amir. dan hal itu menarik perhatian seorang pemuda yang seterusnya meminta perempuan itu mempamerkan wajahnya yang cantik kepadanya. Disebabkan permintaannya itu tidak dilayan, pemuda tersebut bertindak lebih agresif dengan menarik tudung kepala perempuan itu, dan menyebabkan ia terbuka. Hal itu telah menyebabkan berlakunya perang di antara kedua-dua kaum terbabit dan terhenti setelah beberapa orang terbunuh.

Perang Fijar yang disertai Nabi adalah perang Fijar yang paling lama berlaku iaitu 4 tahun .Ketika peperangan ini meletus, Nabi saw berumur dalam linkungan 15 tahun, dan baginda dianggap kanak-kanak. Dalam peperangan menentang kaum Hawazin itu, bapa saudara Nabi iaitu az-Zubair bin Abdul Muttalib, yang juga pemimpin kaum Quraisy ketika itu, memberi tugasan yang ringan kepada Nabi iaitu mengumpul anak panah musuh yang bertaburan untuk digunakan semula. 
Perang Fijar terjadi dalam masa 4 tahun. dan berlaku beberapa kali dalam tempoh itu, peperangan yang pertama yang disertai oleh Nabi, baginda hanya diberi tugasan untuk mengumpul anak panah musuh yang bertaburan kerana usianya yang masih muda. ketika peperangan yang keempat Nabi saw tidak hanya mengumpul anak panah, malah dia juga ada memanah pihak musuh.ini diceritakan sendiri oleh baginda Nabi saw dalam hadithnya yang bermaksud :

              "Aku telah ikut serta perang Fijar bersama-sama bapa-bapa saudara aku, Dan aku juga turut melepaskan beberapa anak panah dalam peperangan itu, dan aku merasa tidak senang hati kalau aku tidak melakukannya"

Dalam riwayat ibnu Hisyam dikatakan bahawa Nabi saw bukan sahaja mengumpul anak panah, malah dia mengumpul semua senjata musuh untuk digunakan semula, malah ada yang mengatakan bahawa Nabi saw bertindak berani dengan menepis serangan anak-anak panah dari terkena bapa-bapa saudaranya.