Friday, December 21, 2012

0034 Perjanjian Hilful Fudhul

Hilful Fudhul adalah perjajian persumpahan utama untuk mempertahankan kesucian dan kemuliaan kota mekah yang pada masa itu cuba dicerobohi oleh orang luar, dan juga mempertahankan dan mengembalikan hak-hak orang yang teraiaya.

Perjanjian ini sangat terkenal di tanah arab sebelum kedatangan islam. Nama perjanjian ini, diambil dari tiga nama orang yang membuat perjanjian ini. Ketiga-tiga nama orang tersebut masing-masing bernama Fadhal, iaitu

Fadhal bin Fudholah,
Fadhal bin Wad'ah 
Fadhal bin al-Harist.

mengikut sumber kitab Siratul Halabiyah, Kerana peristiwa perjanjian itu memang penting untuk diperingati dan bagi menghormati ketiga-tiga orang tersebut, maka para ketua Quraisy sebulat suara menamakan perjanjian itu dengan Hilful Fudhul.

Diriwayatkan, apabila meninggalnya pemimpin utama kaum Quraisy iaitu Abdul Mutalib bin Hasyim, Bangsa Quraisy dipandang merosot oleh kabilah-kabilah lain sesudahnya peperangan fujjar. Kelemahan ini timbul akibat kesalahan mereka sendiri. Masyarakat arab ketika itu tidak ada kesatuan dan persatuan yang sepakat. Ikatan kaum Quraisy dan kaum-kaum yang lain mulai longgar. Ada di antara mereka yang cuba menguasai kedudukan-kedudukan penting yang sebelumnya. Kedudukan-kedudukan itu hanya dikuasai oleh kaum Quraisy yang berketurunan Abdul Manaf . Semenjak zaman pemerintahan Qusai bin Kilab hinggalah zaman Abdul Mutalib, Kota Mekkah tidak pernah dicerobohi oleh sesiapa. Kecuali pada zaman Abdul Mutalib iaitu pencerobohan oleh Abrahah dan tentera bergajahnya. Umum mengetahui Abrahah dan tenteranya sememangnya tidak terkalahkan oleh pasukan Quraisy dan kaum-kaum yang lain.

Ketidakstabilan ini diambil kesempatan oleh Kaum Hawazin untuk menyerang Kota Makkah. Faktor yang lain ialah di kota Makkah tiada Jabatan Polis dan Undang-undang yang menahan dan menghukum penjahat walaupun di kalangan pembesar yang mencabuli hak orang lain seperti orang yang sedang bermusafir dan sebagainya. Maksudnya jenayah memang berleluasa di Kota Makkah dan tiada pencegahan serta hukuman. Kerana itu, tidak hairanlah jika ada pihak-pihak yang sewenang-wenangnya menindas golongan bawahan, oleh kerana tidak ada keadilan dan hukuman bagi pelaku penindasan dan tidak ada pula lembaga yang menguruskan masalah itu.

Atas daya usaha Az Zubair bin Abdul Mutalib, pahlawan Bani Hasyim, beliau mengumpulkan bani-bani yang terkemuka dari kaum Quraisy di rumah Abdullah bin Jud'an untuk bermesyuarat. Bani-bani yang terlibat adalah seperti berikut :

Bani Hasyim
Bani Abdul Manaf
Bani Abdul Mutalib
Bani Zuhrah
Bani Taim


Keputusan Mesyuarat

Di Makkah dan kawasan sekitarnya selepas ini tiada lagi penganiayaan walaupun ke atas hamba sahaya, orang yang bermusafir, peniaga, penziarah, kanak-kanak, wanita, lelaki dan orang tua. Orang yang menzalimi akan dihukum manakala orang yang dizalimi akan mendapat pembelaan yang sewajarnya. Hukuman tidak mengira bangsa, pangkat, keturunan dan warna kulit walaupun di kalangan kaum Quraisy. Sekiranya mereka menganiaya, mereka akan dihukum dengan hukuman yang setimpal .

Pada ketika ini, Nabi Muhammad saw baru berusia 20 tahun dan bagindalah peserta yang paling muda di majlis tersebut. Walaupun begitu, Nabi sudah terkenal dengan seorang pemuda yang sangat jujur lagi amanah, berfikiran cerdas dan tajam. Inilah faktor-faktor yang menyebabkan kaumnya memilihnya menjadi salah seorang ahli mesyuarat yang penting ini .

Mesyuarat ini dikenali sebagai Hilful Fudhul. Hilful Fudhul berasal dari persetiaan 3 orang dari Bani Jurhum. Mereka adalah seperti yang dinyatakan di atas tadi iaitu Fadhal bin Fudholah, Fadhal bin Wada'h dan Fadhal bin Al Harist. Mereka bertiga berjanji akan membela orang yang dianiaya dan menghukum orang yang menganiaya tidak mengira rupa, bangsa, warna kulit dan pangkat dan sebagainya. Di atas peristiwa inilah mesyuarat yang dianjurkan oleh Az Zubair ini dikenali sebagai Hilful Fudhul .

Hasil daripada mesyuarat di kalangan kaum Quraisy ini tidak sekadar teori dan retorik tetapi ia dilaksanakan dengan begitu baik sekali. Ia berjalan selama bertahun-tahun lamanya. Rasulullah s.a.w amat memandang tinggi perjanjian ini.

Sabda baginda, “Sesungguhnya Aku telah menyaksikan satu sumpah setia [ perjanjian ] yang dimeterai di rumah Abdullah bin Jad'an . Aku tidak akan suka bahawa aku menerima unta yang hebat sebagai ganti untuk menyalahi sumpah setia itu . Jika Islam mengajak dengan perjanjian yang serupa nescaya aku menerimanya.” -Sirah Ibnu Hisyam dan turut diriwayat di dalam Musnad Imam Ahmad 


Sebab tementerainya perjanjian ini

Perjanjian dipersetujui kerana ia menafikan semangat perkauman atau berpuak-puak (perkabilahan). Diriwayatkan bahawa perjanjian ini berpunca dari seorang pedagang dari Yaman bernama Zubaid, dia ditipu oleh penduduk Makkah oleh kerana barang dagangan yang dibawa pedagang tersebut telah dibeli oleh Al-‘As Bin Wail Al-Sahmy namun harganya tidak dilangsaikan oleh penduduk Mekkah. Ketika pedagang tersebut meminta tolong kepada sekutunya iaitu Abdul Al Dar, Makhzum, Jumah, `Adi, dan para penduduk Mekkah, tidak ada seorang pun yang mempedulikannya.

Oleh kerana itu, dia menulis sebuah syair dan membacanya dengan keras di atas sebuah gunung. Kemudian Al Zubair Bin Abdul Muthalib bangun dan bertindak, "Apa kalian ini semua bisu?". Kemudian dengan hal itu mereka yang telah mengikat janji Hilful Fudhul segera bertindak menemui Al-‘As Bin Wail Al-Sahmy dan mengambil barang dagangan lelaki dari Yaman tersebut. Kemudian memulangkan kepadanya, setelah mereka menyepakati perjanjian Al Fudhul tersebut.

Rasulullah mengungkapkan kesaksiannya pada perjanjian Hilful Fudhul, saat beliau belum diangkat Allah menjadi Rasul :

"Ketika aku bersama para bapa saudaraku turut sebagai saksi dalam persekutuan di rumah Abdullah bin Jud'am, betapa senang hatiku menyaksikan hal itu. Seandainya setelah Islam datang, aku diajak mengadakan persekutuan seperti itu, pasti ku sambut dengan baik.” 

(Muhammad Al-Ghazaly, dalam Fiqhus Sirah).

dalam riwayat lain berbunyi begini:
"Sesungguhnya aku telah menyaksikan sumpah yang telah diadakan di rumah Abdullah bin Jud'an. Aku tidak sekali-kali suka mengambil unta yang lebih baik bagi menyalahi janji yang terdapat dalam sumpah ini. Dan jika Islam mengajak dengan persumpahan itu nescaya aku akan memenuhinya.”