Wednesday, December 21, 2011

0032 Peristiwa ketika Nabi Di Kota Busra

Setelah beberapa lama berjalan, mengharungi padang pasir dan panas terik, maka rombongan niaga dari Mekah itu bersetuju untuk berehat di sebuah kota yang tak jauh di laluan mereka. Menjadi kebiasaan para pedagang mempunyai tempat-tempat berehat di sepanjang perjalanan untuk berdagang. Kota Busra yang terletak dalam wilayah Huran (Ibu kota Arab Utara) yang mana ketika itu berada dibawah jajahan Rom Timur (Byzentain), adalah salah satu kota yang menjadi tempat persinggahan para pedagang.


Ketika Abu Talib dan Nabi serta ahli rombongan lain sedang berehat di satu kawasan lapang, yang berhadapan dengan sebuah gereja, datang seorang Rahib Nasrani lalu menyapa ahli rombongan pedagang dengan mesra. Rahib yang digelar Buhaira (lautan ilmu) itu mempelawa Abu Talib dan semua ahli rombongan untuk menjamu hidangan yang dia sediakan. Kelakuan pelik Rahib itu turut mendapat perhatian beberapa ahli rombongan yang berasa hairan, kerana selama ini tidak pernah Rahib ini berbuat demikian. Lalu salah seorang dari mereka bertanya pada Rahib.


                   "Tuan Rahib, jika tak salah kami, Tuan rahib tidak pernah menjamu kami sebelum ini, apakah yang menyebabkan Tuan berbuat demikian kali ini?"


Kemudian Rahib itu menjawab;


                    "Benar kata tuan-tuan, tapi tuan-tuan adalah tetamu saya, jadi saya ada sediakan sedikit jamuan untuk tetamu saya, besar kecil, yang merdeka mahupun yang hamba."


Sebahagian binaan gereja Rahib Buhaira di Syam




mengikut beberapa riwayat, (ibnu Hisyam)


Rahib Buhaira sangat teruja dengan kedatangan rombongan peniaga kali ini kerana, dia terpandang ada segumpal awan nipis yang begerak melindungi salah seorang ahli rombongan peniaga dari Mekah yang menghampiri gerejanya. Tapi dia tak dapat pastikan siapakah orang yang dipayungi awan itu. Dalam pengetahuannya dari kitab-kitab dahulu terutamanya Taurat dan Injil, orang yang selalu diteduhi awan nipis ketika berjalan ialah Nabi akhir zaman yang akan di utus.


Peristiwa seterusnya ketika dia memerhatikan rombongan itu ketika berehat di depan gerejanya, ketika seorang kanak-kanak duduk dibawah pokok berhampiran kawasan lapang itu, tiba-tiba daun-daun dan ranting-ranting pokok itu secara lembut menutupi kepala kanak-kanak itu dari terkena sinaran matahari. Mengikut kandungan kitab-kitab terdahulu, Pokok tempat nabi bersandar itu di tanam oleh Nabi Ibrahim as, dan Nabi Musa as pernah berteduh dibawahnya ketika hendak ke Madyan selepas lari dari Fir'aun, selanjutnya menurut kitab injil dan Taurat lagi, hanya Nabi sahaja yang akan nampak pokok itu, dan berteduh di bawahnya, selain dari mereka orang yang bukan Nabi tidak akan nampak pokok itu. 


Setelah dipujuk-pujuk maka para pedagang pun masuk kedalam gereja untuk menjamu hidangan, sehingga mereka terlupa tentang anak saudara Abu Talib itu, lalu ditinggalkan di luar. kemudian Rahib Buhaira bertanya;


                           "Hanya inikah ahli rombongan yang ada? kalau boleh semua sekali hadir dalam jamuan ini, jangan di tinggalkan seorang pun."


                           "Tidak-tidak masih ada lagi seorang kanak-kanak kecil di luar." jawab seorang ahli rombongan


                           "jangan begitu, bawalah dia masuk sekali, supaya dia dapat menikmati jamuan ini bersama tuan-tuan."  Berkata Rahib Buhaira supaya dia berpeluang mengenali anak yatim itu.


Ketika rombongan asyik makan, Rahib tak henti-henti memerhatikan tingkah laku Nabi yang makan bersebelahan dengan Abu Talib. Setelah rombongan selesai makan, Rahib terus mendekati Nabi dan bertanya;


                            "Wahai anak kecil, dengan nama al-Lata dan al-Uzza, bolehkah anak menjawab beberapa soalan saya?"


Jawab Nabi           
                            "Janganlah tuan tanya saya dengan nama al-Latta dan al-Uzza, kerana tidak ada yang saya benci melebihi dari keduanya."


Nabi saw sejak kecil telah menunjukkan sikapnya yang benci pada perkara-perkara khurafat dan syirik. serta perkara lain seperti arak dan benda yang melalaikan.


Tersentak dengan kenyataan itu, Rahib Buhaira terus mengubah soalannya.


                           "Dengan nama Allah, mahukah anak beritahu saya apa-apa yang saya tanyakan?"


                           "Silakan, apa yang terasa di hati tuan"


Dialog terus adalah soalan Rahib mengenai waktu tidur dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan kegiatan harian Nabi. sehinggalah Rahib meminta Nabi menunjukkan belakang Baginda. Maka tersentak dengan tanda kenabian di belakang Nabi, rupanya seperti kena bekam dikelilingi bulu-bulu halus, dan saiznya sebesar telur burung merpati.


Lalu Rahib Buhaira terus mendapatkan Abu Talib lalu bertanya;


                           "Anak siapakah ini?"


                           "Anak saya." kata Abu Talib berbohong


Rahib Buhaira telah terbaca tentang keadaan Nabi akhir zaman, iaitu tidak dipelihara oleh ibu ataupun bapanya, dalam erti kata lain Nabi akhir zaman adalah anak yatim. dan dari pengetahuannya itu dia tahu yang Abu Talib telah berbohong padanya.


                           "beritahulah perkara sebenar kepadaku Abu Talib, mengikut perkiraan ku budak itu tidak mempunyai ibu dan ayah lagi, bukankah begitu?"


                           "Bagaimanakah tuan tahu semua ini?" tanya Abu Talib


                           "Wahai Abu Talib bawa pulang segera anak ini dan janganlah diperlihatkan kepada seorang yahudi pun, kerana jika tuan berbuat demikian maka nescaya mereka akan membunuhnya."


Buhaira juga berpesan tentang rancangan jahat Yahudi, kerana sejak azali Allah telah tentukan Nabi terakhir berasal dari bangsa Arab, tetapi pada masa yang sama Yahudi inginkan Nabi dari kalangan mereka iaitu bani Israel. Disebabkan hal itu mereka akan berusaha untuk membunuh Muhammad saw.


Mendengar nasihat Rahib Buhaira itu Abu Talib terus membawa Nabi pulang ke Mekah, dan melupakan hasratnya untuk ke Syam mencari rezki.


Mengikut riwayat, Rahib Buhaira mati dibunuh yahudi.

No comments:

Post a Comment