Monday, August 11, 2014

0036 Rahib Nastura

Malay  

Setelah Persiapan rombongan Rasulullah saw yang membawa barang-barang dagangan Siti Khadijah telah siap, maka berangkatlah rombongan itu ke Syam.

Siti Khadijah juga menghantar seorang pembantu kanannya seorang lelaki bernama Maisarah, untuk membantu, dan juga membawa amanah lain dari Majikannya. iaitu menjadi perisik terhadap Rasulullah saw. Jangan salah paham, siti Khadijah bukanlah berniat buruk, tapi sejak kali pertama dia melihat Rasulullah saw, dia ingin mengenali dengan lebih dalam tentang peribadi Rasulullah saw.

Sepanjang perjalanan itu banyaklah peristiwa yang menarik perhatian Maisarah, Rasulullah saw ketika perjalanan banyak berzikir dari bersembang, banyak menyendiri, terutamanya ketika rombongan berhenti berehat, menjadi kebiasaan bangsa arab akan bersyair dan menyanyi, berhibur sambil berehat. Tapi Nabi saw mengansingkan diri duduk jauh dari hiburan rombongan. Allah memelihara Nabi saw dari perkara yang melalaikan.

Setelah beberapa kali berehat dan meneruskan perjalanan, sebelum rombongan sampai ke negeri Syam, Pada kebiasaannya, rombongan yang datang dari Mekah akan singgah di Kota Busra iaitu ibu negeri Huran. di situ para ahli rombongan, selalunya akan merehatkan diri, dan bersiar-siar sekitar kota besar itu dan berhibur. Seperti biasa Nabi saw, akan mengasingkan diri, dari perkara-perkara yang melalaikan. ketika sampai di kota Busra itu, Nabi saw merehatkan diri dibawah sepohon pokok yang rendang. 

Sebahagian dari Tinggalan kota Busra.


Berdekatan dengan tempat rombongan dari mekah itu berehat. dan berdepan dengan tempat itu terdapat Biara Rahib Nasrani. Tempat yang sama ketika Abu Talib datang bersama Nabi 13 tahun dulu.
Tinggalan Biara Nasrani di kota Busra (Syria)


Ketika Nabi saw dan rombongan sedap berehat. Keluar seorang Rahib dari Biara datang kepada Maisara. Kalau dulu Rahib yang bertanya pada Abu Talib bernama Buhaira. tapi rahib itu sudah tiada lagi. Rahib yang datang pada Maisara ini bernama Nastura.

"Siapa pemuda yang berteduh bawah pohon tu?" tanya rahib


"oh itu pemuda Mekah, keturunan Quraisy!" jawab Maisara

"Adakah pada mata putihnya ada bintik merah?" tanya Rahib.

"ya, ada" jawab Maisara dengan jujur.

"itulah penghabisan segala Nabi, Tiada seorang pun yang akan berteduh dibawah pohon itu kecuali para Nabi"

Tanda merah yang dimaksudkan oleh Rahib Nastura itu bukan seperti orang yang sakit matanya. Tapi tanda kenabian. Ada pendapat tanda itu berbintik merah, ada juga pendapat yang ianya bukan berbintik tetapi garisan merah di mata putih.

Dengan tidak membuang masa Rahib Nastura bergegas mendapatkan Nabi saw. sampai didepan Nabi saw, dia mencium kepala dan kaki Nabi saw.

"Aku menyaksikan bahawa engkaulah yang disebut Allah dalam kitab Taurat. Sesungguhnya aku telah melihat tanda-tanda kenabian pada engkau wahai Muhammad, seperti yang disebutkan dalam kitab-kitab lama. hanya satu tanda yang belum aku lihat, iaitu tanda dibelakang Mu."

Setelah Nabi saw membuka bajunya, terserlah tanda kenabian pada belakang Nabi saw, serentak dengan itu. Rahib Nastura berkata.

"Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan bahawa engkau wahai Muhammad adalah Utusan Allah yang Ummi dari bangsa Arab Bani Hasyim, dari Mekah."

Peristiwa tadi betul-betul membuatkan Maisara ingin mengetahui lebih mendalam tentang Nabi saw.

Setelah beberapa lama, Rombongan perniagaan dan Nabi saw pun berangkat ke Syam.

Peristiwa itu menguatkan lagi, tanda-tanda yang sudah pun diberitahu oleh Allah pada Nabi2 sebelumnya, tentang kedatangan Nabi Akhir zaman. dan mereka Ahli kitab yang Alim tentang isi kandungan kitab-kitab taurat dan injil, lebih mengenali Nabi saw dari anak mereka sendiri, dek kerana tanda-tanda yang telah mereka tahu dan menunggu lama kedatangan Nabi Akhir zaman.

Thursday, July 4, 2013

0035 Nabi Mula Berniaga

Hidup Nabi saw di susun oleh Allah swt supaya baginda mahir dalam segala aspek. banyak riwayat mengatakan Nabi saw mula menceburkan diri dalam selok belok perniagaan ketika umurnya mencecah 25 tahun. Ketika itu Seorang jutawan Arab Quraisy tengah mencari seorang lagi pekerja tambahan untuk membawa barang dagangan yang sangat banyak ke Syam. Jutawan tersebut iaitu seorang Wanita mulia Siti Khadijah binti Khuwailid amat berhati-hati dalam memilih pekerjanya, kerana untuk mempercayai seseorang yang asing untuk membawa barang dagangan yang bernilai tinggi tentu dia mencari seseorang yang jujur untuk tugas itu.

Berita Siti Khadijah binti Khuwailid mencari pekerja itu, tersebar luas di kota Mekah, hinggalah sampai ke pengetahuan Abu Talib. Berita itu cepat-cepat di khabarkan pada Nabi saw.

"Wahai Muhammad, Sesungguhnya aku tiada banyak harta, dan ketika ini keewangan ku amat perit sekali, tadi di kota aku ada mendengar berita, seorang saudagar kaya sedang mencari seorang pekerja tambahan dan menawarkan 2 ekor unta muda sebagai upah, Aku tidak sekali suka akan jumlah upah itu, akan tetapi jika kamu bersetuju untuk mengambil kerja itu, aku sudi berbicara dengan Siti Khadijah tentangnya."

Nabi terdiam dan berpikir sebentar, kemudian Nabi saw menjawab 
" Mana yang ayah pandang baik, Saya ikut saja"

Nabi saw mengambil kerja itu bukanlah kerana janji upahnya, Nabi saw seorang manusia yang sudah didik oleh Allah swt untuk tidak mencintai harta kekayaan, dia mengambil kerja itu hanya kerana untuk menjaga hati pakciknya Abu Talib.

Setelah Berbincang dengan Siti Khadijah, dia bersetuju untuk memberi upah kepada Nabi saw dengan 4 ekor unta muda, iaitu sekali ganda upah yang diberikan pada pekerja lain. kata Siti Khadijah binti Khuwailid dia bersetuju memberi upah yang diminta kerana dia sangat menghormati Abu Talib, seorang yang sangat dihormati di kota Mekah.

Pasar Kurma (gambar Hiasan)

Friday, December 21, 2012

0034 Perjanjian Hilful Fudhul

Hilful Fudhul adalah perjajian persumpahan utama untuk mempertahankan kesucian dan kemuliaan kota mekah yang pada masa itu cuba dicerobohi oleh orang luar, dan juga mempertahankan dan mengembalikan hak-hak orang yang teraiaya.

Perjanjian ini sangat terkenal di tanah arab sebelum kedatangan islam. Nama perjanjian ini, diambil dari tiga nama orang yang membuat perjanjian ini. Ketiga-tiga nama orang tersebut masing-masing bernama Fadhal, iaitu

Fadhal bin Fudholah,
Fadhal bin Wad'ah 
Fadhal bin al-Harist.

mengikut sumber kitab Siratul Halabiyah, Kerana peristiwa perjanjian itu memang penting untuk diperingati dan bagi menghormati ketiga-tiga orang tersebut, maka para ketua Quraisy sebulat suara menamakan perjanjian itu dengan Hilful Fudhul.

Diriwayatkan, apabila meninggalnya pemimpin utama kaum Quraisy iaitu Abdul Mutalib bin Hasyim, Bangsa Quraisy dipandang merosot oleh kabilah-kabilah lain sesudahnya peperangan fujjar. Kelemahan ini timbul akibat kesalahan mereka sendiri. Masyarakat arab ketika itu tidak ada kesatuan dan persatuan yang sepakat. Ikatan kaum Quraisy dan kaum-kaum yang lain mulai longgar. Ada di antara mereka yang cuba menguasai kedudukan-kedudukan penting yang sebelumnya. Kedudukan-kedudukan itu hanya dikuasai oleh kaum Quraisy yang berketurunan Abdul Manaf . Semenjak zaman pemerintahan Qusai bin Kilab hinggalah zaman Abdul Mutalib, Kota Mekkah tidak pernah dicerobohi oleh sesiapa. Kecuali pada zaman Abdul Mutalib iaitu pencerobohan oleh Abrahah dan tentera bergajahnya. Umum mengetahui Abrahah dan tenteranya sememangnya tidak terkalahkan oleh pasukan Quraisy dan kaum-kaum yang lain.

Ketidakstabilan ini diambil kesempatan oleh Kaum Hawazin untuk menyerang Kota Makkah. Faktor yang lain ialah di kota Makkah tiada Jabatan Polis dan Undang-undang yang menahan dan menghukum penjahat walaupun di kalangan pembesar yang mencabuli hak orang lain seperti orang yang sedang bermusafir dan sebagainya. Maksudnya jenayah memang berleluasa di Kota Makkah dan tiada pencegahan serta hukuman. Kerana itu, tidak hairanlah jika ada pihak-pihak yang sewenang-wenangnya menindas golongan bawahan, oleh kerana tidak ada keadilan dan hukuman bagi pelaku penindasan dan tidak ada pula lembaga yang menguruskan masalah itu.

Atas daya usaha Az Zubair bin Abdul Mutalib, pahlawan Bani Hasyim, beliau mengumpulkan bani-bani yang terkemuka dari kaum Quraisy di rumah Abdullah bin Jud'an untuk bermesyuarat. Bani-bani yang terlibat adalah seperti berikut :

Bani Hasyim
Bani Abdul Manaf
Bani Abdul Mutalib
Bani Zuhrah
Bani Taim


Keputusan Mesyuarat

Di Makkah dan kawasan sekitarnya selepas ini tiada lagi penganiayaan walaupun ke atas hamba sahaya, orang yang bermusafir, peniaga, penziarah, kanak-kanak, wanita, lelaki dan orang tua. Orang yang menzalimi akan dihukum manakala orang yang dizalimi akan mendapat pembelaan yang sewajarnya. Hukuman tidak mengira bangsa, pangkat, keturunan dan warna kulit walaupun di kalangan kaum Quraisy. Sekiranya mereka menganiaya, mereka akan dihukum dengan hukuman yang setimpal .

Pada ketika ini, Nabi Muhammad saw baru berusia 20 tahun dan bagindalah peserta yang paling muda di majlis tersebut. Walaupun begitu, Nabi sudah terkenal dengan seorang pemuda yang sangat jujur lagi amanah, berfikiran cerdas dan tajam. Inilah faktor-faktor yang menyebabkan kaumnya memilihnya menjadi salah seorang ahli mesyuarat yang penting ini .

Mesyuarat ini dikenali sebagai Hilful Fudhul. Hilful Fudhul berasal dari persetiaan 3 orang dari Bani Jurhum. Mereka adalah seperti yang dinyatakan di atas tadi iaitu Fadhal bin Fudholah, Fadhal bin Wada'h dan Fadhal bin Al Harist. Mereka bertiga berjanji akan membela orang yang dianiaya dan menghukum orang yang menganiaya tidak mengira rupa, bangsa, warna kulit dan pangkat dan sebagainya. Di atas peristiwa inilah mesyuarat yang dianjurkan oleh Az Zubair ini dikenali sebagai Hilful Fudhul .

Hasil daripada mesyuarat di kalangan kaum Quraisy ini tidak sekadar teori dan retorik tetapi ia dilaksanakan dengan begitu baik sekali. Ia berjalan selama bertahun-tahun lamanya. Rasulullah s.a.w amat memandang tinggi perjanjian ini.

Sabda baginda, “Sesungguhnya Aku telah menyaksikan satu sumpah setia [ perjanjian ] yang dimeterai di rumah Abdullah bin Jad'an . Aku tidak akan suka bahawa aku menerima unta yang hebat sebagai ganti untuk menyalahi sumpah setia itu . Jika Islam mengajak dengan perjanjian yang serupa nescaya aku menerimanya.” -Sirah Ibnu Hisyam dan turut diriwayat di dalam Musnad Imam Ahmad 


Sebab tementerainya perjanjian ini

Perjanjian dipersetujui kerana ia menafikan semangat perkauman atau berpuak-puak (perkabilahan). Diriwayatkan bahawa perjanjian ini berpunca dari seorang pedagang dari Yaman bernama Zubaid, dia ditipu oleh penduduk Makkah oleh kerana barang dagangan yang dibawa pedagang tersebut telah dibeli oleh Al-‘As Bin Wail Al-Sahmy namun harganya tidak dilangsaikan oleh penduduk Mekkah. Ketika pedagang tersebut meminta tolong kepada sekutunya iaitu Abdul Al Dar, Makhzum, Jumah, `Adi, dan para penduduk Mekkah, tidak ada seorang pun yang mempedulikannya.

Oleh kerana itu, dia menulis sebuah syair dan membacanya dengan keras di atas sebuah gunung. Kemudian Al Zubair Bin Abdul Muthalib bangun dan bertindak, "Apa kalian ini semua bisu?". Kemudian dengan hal itu mereka yang telah mengikat janji Hilful Fudhul segera bertindak menemui Al-‘As Bin Wail Al-Sahmy dan mengambil barang dagangan lelaki dari Yaman tersebut. Kemudian memulangkan kepadanya, setelah mereka menyepakati perjanjian Al Fudhul tersebut.

Rasulullah mengungkapkan kesaksiannya pada perjanjian Hilful Fudhul, saat beliau belum diangkat Allah menjadi Rasul :

"Ketika aku bersama para bapa saudaraku turut sebagai saksi dalam persekutuan di rumah Abdullah bin Jud'am, betapa senang hatiku menyaksikan hal itu. Seandainya setelah Islam datang, aku diajak mengadakan persekutuan seperti itu, pasti ku sambut dengan baik.” 

(Muhammad Al-Ghazaly, dalam Fiqhus Sirah).

dalam riwayat lain berbunyi begini:
"Sesungguhnya aku telah menyaksikan sumpah yang telah diadakan di rumah Abdullah bin Jud'an. Aku tidak sekali-kali suka mengambil unta yang lebih baik bagi menyalahi janji yang terdapat dalam sumpah ini. Dan jika Islam mengajak dengan persumpahan itu nescaya aku akan memenuhinya.” 

Saturday, March 10, 2012

0033 Peperangan Fijar

Tidak dapat diceritakan secara terperinci tentang kehidupan zaman remaja Rasulullah saw oleh kerana terlalu sedikit risalah atau hadith terkumpul mengenai perkara itu. Tidak wajar kita berkongsi sesuatu yang bukan dalam perkara yang sahih, yang disepakati oleh ulamak-ulamak hadith dan tafsir. Jadi disini hanya diceritakan beberapa hal dan peristiwa yang terjadi dalam usia remaja Rasulullah saw yang di anggap penting dan ianya diceritakan oleh Rasulullah saw sendiri kepada sahabat.

Perang Fijar terjadi apabila dua orang Arab dari dua kaum iaitu Bani Hawazin dan Bani Kinanah, saling bersaing untuk membawa barang dagangan Raja Hirah untuk diniagakan di Pasar Ukaz.

Wakil bagi kaum Hawazin yang bernama Urwah al-Rahhal dan al-Barrad bin Qais menjadi wakil untuk suku kaum Kinanah yang ketika itu bersekutu dengan kaum Quraisy, saling menjual kelebihan masing-masing bagi meraih tugasan yang dianggap menguntungkan itu, dari Raja an-Nu'man bin Munzir, raja dan pemerintah Hirah ketika itu. setelah belarutan beberapa lama, Raja Hirah membuat keputusan untuk memilih Urwah al-Rahhal untuk tugasan itu. Disebabkan keputusan itu, maka wakil suku kaum Kinanah, iaitu al-Barrad bin Qais menjadi marah dan timbul rasa dengki dalam dirinya. Tambahan pula dia adalah seorang peminum arak dan membuat pelbagai kegiatan jahat, merasakan dia perlu melakukan sesuatu untuk melepaskan rasa marahnya itu. Berikutan hal itu al-Barrad telah membunuh Urwah... dan melarikan diri. Perbuatan al-Barrad itu telah membangkitkan kemarahan puak Hawazin. Lalu mereka melancarkan serangan keatas kaum Kinanah dan Quraisy disebabkan perbuatan seorang yang jahat dalam kaum itu. Demi mempertahankan diri kedua-dua kaum itu melancarkan serangan balas untuk mempertahankan diri. maka terjadilah peperangan Fijar.



Fijar bermaksud Meletus. peperangan ini sepatutnya tidak terjadi pada bulam haram. ini kerana bulan haram adalah bulan yang sangat dihormati oleh orang-orang Arab.

Dalam tempoh 4 bulan Haram ini kegiatan penduduk mekah seperti berniaga, dan sebagainya digandakan dari bulan-bulan lain kerana dalam bulan ini tiada peperangan berlaku.
Oleh kerana aman dan tenteram yang diperolehi dalam bulan itulah, menyaksikan pasar-pasar seperti Ukaz, Dzul Majjaz dan Mujannah sesak dengan pelbagai aktiviti perniagaan.

Ketika itu jugalah para seniman yang masyhur akan bergerak dan melakukan aktiviti mereka seperti nyanyian syair dan sebagainya. Di samping itu juga para Rahib dan Pendita dan para ketua ajaran-ajaran lain akan memperkenalkan agama dan kepercayaan mereka kepada orang ramai.

Sebelum terjadinya perperangan fijar yang besar. Perang fijar secara kecil-kecilan telah pun berlaku dan ia tidak disertai oleh Nabi saw. Oleh kerana punca pertelingkahan yang berlaku sangat pelik dan lucu maka ia tidaklah melarat hingga menyebabkan peperangan besar seperti yang disertai oleh Nabi saw.

Perang fijar pertama meletus melibatkan pertempuran antara Kabilah Kinanah dan Hawazin.
pertelingkahan ini terjadi apabila Badar bin Masyar seoarang pembaca sajak dan syair menghunuskan sebilah pedang yang tajam dan berkata:

"Aku adalah orang yang paling terhormat!
Sesiapa yang menolak pengakuan ku ini,
akan ku tebas dengan pedang ini,
aku akan beri kau rasa betapa tajamnya senjata ku ini"

Ketika itulah seorang lelaki bangkit dan melibas kaki Badar hingga putus keduanya. Disebabkan peristiwa itu berlakulah perang Fijar pertama yang dapat dihentikan sebelum sesiapa terbunuh.

Perang yang kedua yang terjadi dalam bulan haram mengisahkan seorang perempuan yang sangat cantik dari Bani Amir. dan hal itu menarik perhatian seorang pemuda yang seterusnya meminta perempuan itu mempamerkan wajahnya yang cantik kepadanya. Disebabkan permintaannya itu tidak dilayan, pemuda tersebut bertindak lebih agresif dengan menarik tudung kepala perempuan itu, dan menyebabkan ia terbuka. Hal itu telah menyebabkan berlakunya perang di antara kedua-dua kaum terbabit dan terhenti setelah beberapa orang terbunuh.

Perang Fijar yang disertai Nabi adalah perang Fijar yang paling lama berlaku iaitu 4 tahun .Ketika peperangan ini meletus, Nabi saw berumur dalam linkungan 15 tahun, dan baginda dianggap kanak-kanak. Dalam peperangan menentang kaum Hawazin itu, bapa saudara Nabi iaitu az-Zubair bin Abdul Muttalib, yang juga pemimpin kaum Quraisy ketika itu, memberi tugasan yang ringan kepada Nabi iaitu mengumpul anak panah musuh yang bertaburan untuk digunakan semula. 
Perang Fijar terjadi dalam masa 4 tahun. dan berlaku beberapa kali dalam tempoh itu, peperangan yang pertama yang disertai oleh Nabi, baginda hanya diberi tugasan untuk mengumpul anak panah musuh yang bertaburan kerana usianya yang masih muda. ketika peperangan yang keempat Nabi saw tidak hanya mengumpul anak panah, malah dia juga ada memanah pihak musuh.ini diceritakan sendiri oleh baginda Nabi saw dalam hadithnya yang bermaksud :

              "Aku telah ikut serta perang Fijar bersama-sama bapa-bapa saudara aku, Dan aku juga turut melepaskan beberapa anak panah dalam peperangan itu, dan aku merasa tidak senang hati kalau aku tidak melakukannya"

Dalam riwayat ibnu Hisyam dikatakan bahawa Nabi saw bukan sahaja mengumpul anak panah, malah dia mengumpul semua senjata musuh untuk digunakan semula, malah ada yang mengatakan bahawa Nabi saw bertindak berani dengan menepis serangan anak-anak panah dari terkena bapa-bapa saudaranya.

Wednesday, December 21, 2011

0032 Peristiwa ketika Nabi Di Kota Busra

Setelah beberapa lama berjalan, mengharungi padang pasir dan panas terik, maka rombongan niaga dari Mekah itu bersetuju untuk berehat di sebuah kota yang tak jauh di laluan mereka. Menjadi kebiasaan para pedagang mempunyai tempat-tempat berehat di sepanjang perjalanan untuk berdagang. Kota Busra yang terletak dalam wilayah Huran (Ibu kota Arab Utara) yang mana ketika itu berada dibawah jajahan Rom Timur (Byzentain), adalah salah satu kota yang menjadi tempat persinggahan para pedagang.


Ketika Abu Talib dan Nabi serta ahli rombongan lain sedang berehat di satu kawasan lapang, yang berhadapan dengan sebuah gereja, datang seorang Rahib Nasrani lalu menyapa ahli rombongan pedagang dengan mesra. Rahib yang digelar Buhaira (lautan ilmu) itu mempelawa Abu Talib dan semua ahli rombongan untuk menjamu hidangan yang dia sediakan. Kelakuan pelik Rahib itu turut mendapat perhatian beberapa ahli rombongan yang berasa hairan, kerana selama ini tidak pernah Rahib ini berbuat demikian. Lalu salah seorang dari mereka bertanya pada Rahib.


                   "Tuan Rahib, jika tak salah kami, Tuan rahib tidak pernah menjamu kami sebelum ini, apakah yang menyebabkan Tuan berbuat demikian kali ini?"


Kemudian Rahib itu menjawab;


                    "Benar kata tuan-tuan, tapi tuan-tuan adalah tetamu saya, jadi saya ada sediakan sedikit jamuan untuk tetamu saya, besar kecil, yang merdeka mahupun yang hamba."


Sebahagian binaan gereja Rahib Buhaira di Syam




mengikut beberapa riwayat, (ibnu Hisyam)


Rahib Buhaira sangat teruja dengan kedatangan rombongan peniaga kali ini kerana, dia terpandang ada segumpal awan nipis yang begerak melindungi salah seorang ahli rombongan peniaga dari Mekah yang menghampiri gerejanya. Tapi dia tak dapat pastikan siapakah orang yang dipayungi awan itu. Dalam pengetahuannya dari kitab-kitab dahulu terutamanya Taurat dan Injil, orang yang selalu diteduhi awan nipis ketika berjalan ialah Nabi akhir zaman yang akan di utus.


Peristiwa seterusnya ketika dia memerhatikan rombongan itu ketika berehat di depan gerejanya, ketika seorang kanak-kanak duduk dibawah pokok berhampiran kawasan lapang itu, tiba-tiba daun-daun dan ranting-ranting pokok itu secara lembut menutupi kepala kanak-kanak itu dari terkena sinaran matahari. Mengikut kandungan kitab-kitab terdahulu, Pokok tempat nabi bersandar itu di tanam oleh Nabi Ibrahim as, dan Nabi Musa as pernah berteduh dibawahnya ketika hendak ke Madyan selepas lari dari Fir'aun, selanjutnya menurut kitab injil dan Taurat lagi, hanya Nabi sahaja yang akan nampak pokok itu, dan berteduh di bawahnya, selain dari mereka orang yang bukan Nabi tidak akan nampak pokok itu. 


Setelah dipujuk-pujuk maka para pedagang pun masuk kedalam gereja untuk menjamu hidangan, sehingga mereka terlupa tentang anak saudara Abu Talib itu, lalu ditinggalkan di luar. kemudian Rahib Buhaira bertanya;


                           "Hanya inikah ahli rombongan yang ada? kalau boleh semua sekali hadir dalam jamuan ini, jangan di tinggalkan seorang pun."


                           "Tidak-tidak masih ada lagi seorang kanak-kanak kecil di luar." jawab seorang ahli rombongan


                           "jangan begitu, bawalah dia masuk sekali, supaya dia dapat menikmati jamuan ini bersama tuan-tuan."  Berkata Rahib Buhaira supaya dia berpeluang mengenali anak yatim itu.


Ketika rombongan asyik makan, Rahib tak henti-henti memerhatikan tingkah laku Nabi yang makan bersebelahan dengan Abu Talib. Setelah rombongan selesai makan, Rahib terus mendekati Nabi dan bertanya;


                            "Wahai anak kecil, dengan nama al-Lata dan al-Uzza, bolehkah anak menjawab beberapa soalan saya?"


Jawab Nabi           
                            "Janganlah tuan tanya saya dengan nama al-Latta dan al-Uzza, kerana tidak ada yang saya benci melebihi dari keduanya."


Nabi saw sejak kecil telah menunjukkan sikapnya yang benci pada perkara-perkara khurafat dan syirik. serta perkara lain seperti arak dan benda yang melalaikan.


Tersentak dengan kenyataan itu, Rahib Buhaira terus mengubah soalannya.


                           "Dengan nama Allah, mahukah anak beritahu saya apa-apa yang saya tanyakan?"


                           "Silakan, apa yang terasa di hati tuan"


Dialog terus adalah soalan Rahib mengenai waktu tidur dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan kegiatan harian Nabi. sehinggalah Rahib meminta Nabi menunjukkan belakang Baginda. Maka tersentak dengan tanda kenabian di belakang Nabi, rupanya seperti kena bekam dikelilingi bulu-bulu halus, dan saiznya sebesar telur burung merpati.


Lalu Rahib Buhaira terus mendapatkan Abu Talib lalu bertanya;


                           "Anak siapakah ini?"


                           "Anak saya." kata Abu Talib berbohong


Rahib Buhaira telah terbaca tentang keadaan Nabi akhir zaman, iaitu tidak dipelihara oleh ibu ataupun bapanya, dalam erti kata lain Nabi akhir zaman adalah anak yatim. dan dari pengetahuannya itu dia tahu yang Abu Talib telah berbohong padanya.


                           "beritahulah perkara sebenar kepadaku Abu Talib, mengikut perkiraan ku budak itu tidak mempunyai ibu dan ayah lagi, bukankah begitu?"


                           "Bagaimanakah tuan tahu semua ini?" tanya Abu Talib


                           "Wahai Abu Talib bawa pulang segera anak ini dan janganlah diperlihatkan kepada seorang yahudi pun, kerana jika tuan berbuat demikian maka nescaya mereka akan membunuhnya."


Buhaira juga berpesan tentang rancangan jahat Yahudi, kerana sejak azali Allah telah tentukan Nabi terakhir berasal dari bangsa Arab, tetapi pada masa yang sama Yahudi inginkan Nabi dari kalangan mereka iaitu bani Israel. Disebabkan hal itu mereka akan berusaha untuk membunuh Muhammad saw.


Mendengar nasihat Rahib Buhaira itu Abu Talib terus membawa Nabi pulang ke Mekah, dan melupakan hasratnya untuk ke Syam mencari rezki.


Mengikut riwayat, Rahib Buhaira mati dibunuh yahudi.

Tuesday, October 11, 2011

0031 Nabi saw Di Bawa berniaga ke Syam

Seperti kebiasaan orang-orang dari kaum Quraisy, mencari rezki mereka dengan berniaga, begitu jugalah perihalnya dengan Abu Talib. Dia telah mula meniaga sejak dari muda lagi, yang mana kebolehan berniaga itu telah di warisi turun temurun dari datuk nenek nya lagi. Kali ini setelah lama dia tidak keluar berniaga terpanggil pula untuk dia berniaga di negeri Syam. 


Hari itu dia membuat keputusan untuk bertolak ke negeri Syam mengikut rombongan peniaga yang lain. Seperti kebiasaan dia akan bersiap-siap denga kelengkapan untuk makan dan minum sepanjang jalan untuk seorang. Tapi kali ini, ade teman yang ingin ikut bersama-sama ke sana. iaitu Muhammad saw yang ketika itu berusia dalam linkungan 12 tahun. Mengikut Riwayat Ibnu Hisyam, Abu Talib sudah pun sedia untuk bertolak ke Syam mengikut rombongan yang seramai 200 orang. dan tiba-tiba datang anak saudaranya itu menarik2 pakaiannya meminta dan merayu supaya kali ini dibawanya bersama. Disebabkan rayuan Nabi yang tidak henti-henti itu maka Abu Talib pun membawa Nabi ikut bersama. 


Jarak antara Mekah dan negeri Syam adalah lebih kurang 900km, dan mengambil masa sebulan untuk sampai ke sana jika dengan menaiki unta. Dengan penambahan kesusahan dan perit mengharungi perjalanan yang amat memenatkan. Mengikut riwayat para pedagang akan berhenti beberapa kali untuk mengisi air merehatkan badan dan bermalam untuk mengembalikan tenaga supaya dapat meneruskan perjalanan pada keesokan harinya. Jauhnya perjalanan itu macam Dari johor ke Perlis dengan menaiki unta bayangkan. 


Disebabkan kecekalan Nabi untuk membantu bapa saudaranya itu untuk mencari rezki, Abu Talib merasakan perjalanan perniagaannya ke Syam kali ini sangat bermakna. Dan lagi sebelum ini diceritakan bahawa keadaan perhubungan Nabi dengan bapa saudaranya itu sangat rapat hingga Nabi tidak sanggup berenggang dengan Abu Talib. Disebabkan itu jugalah kali ini Nabi mengikut bapa saudaranya ke Syam.


Kota Damsyik adalah antara kota yang tertua di dunia

Peta Syria dan Damsyik (Damascus)


Info: Syam sekarang dikenali sebagai Damsyik di Syria 

Wednesday, August 10, 2011

0030 Tinggal Bersama Bapa Saudaranya Abu Talib

Setelah kewafatan Abdul Muttalib Nabi saw telah diambil oleh bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Sebelum kewafatan datuknya Abdul Muttalib, Abu Talib ada menerima amanah dari Abdul Muttalib, iaitu mengambil Nabi saw sebagai anak peliharaannya. Perkara itu telah di beritahu kepadanya kerana dia adalah saudara seibu sebapa dengan bapa Nabi saw iaitu Abdullah, jadi mereka lebih rapat. Setelah meninggal Abdul Muttalib bermula lah penghidupan baru Nabi bersama penjaga barunya iaitu Abu Talib.


Disebabkan Nabi saw adalah kanak-kanak yang sangat baik dan baik budi pekertinya maka tidak hairanlah jika sesiapa yang mendapat tanggungjawab untuk menjaga Nabi saw menerima dengan senang hati. Bagitu juga halnya dengan Abu Talib, dia meletakkan Nabi sebagai insan yang sangat istimewa dihatinya, dia melayani Nabi saw tidak seperti dia melayani anak-anaknya sendiri. Dia selalu membawa Nabi kemana-mana sahaja dia pergi. Jarang dia meninggalkan Nabi di rumah seorang diri.


Oleh kerana kasing sayang yang ditunjukkan oleh bapa saudaranya tidak berbelah bagi, Nabi saw yang memahami keadaan itu berusaha untuk membalas jasa baik dan kasih sayang Abu Talib dengan mengambil upah menjaga kambing orang-oarang kaya Mekah. Nabi diberi upah untuk kerjanya itu dan upahnya itu sedikit sebanyak dapat membantu ekonomi keluarga Abu Talib yang ketika itu mempunyai jumlah ahli keluarga yang besar.


Mengikut riwayat upah yang di bayar kepada Nabi saw adalah dalam bentuk 'kararit' Jika diikutkan dari sumber sejarah ia bermaksud wang emas atau dari satu riwayat lagi ia adalah kurma Hindi. Upah atau Kararit ini dibayar sebaik saja selesai Nabi saw menjaga kambing iaitu setiap petang atau senja Nabi akan dibayar untuk kerja yang dilakukan hari itu.



Thursday, July 7, 2011

0029 Tinggal bersama Datuknya

Setelah kembali dari menziarahi makam ayahnya dan juga setelah peristiwa sedih yang berlaku kepada diri Nabi saw iaitu kehilangan Ibunya yang tercinta, Nabi saw telah dibawa dan dipelihara oleh datuknya iaitu Abdul Muttalib. Walaupun ketika itu umur Abdul Muttalib mencecah 78 tahun, dia tidak pernah terasa terbeban dengan memelihara Nabi saw. Bahkan dia sangat kasih dan sayang pada cucunya itu seperti dia sayangkan anak-anaknya yang lain. Maka tinggallah Nabi bersama datuknya dan juga bapa-bapa saudaranya dan juga ibu-ibu saudaranya dalam keadaan yang baik. ketika itu juga Abdul Muttalib mempunyai anak yang lebih kurang sebaya dengan Nabi saw iaitu Hamzah dan al-Abbas. Nabi tidak terasa terlalu terasing kerana mempunyai rakan sebaya untuk bermain-main. walaupun mereka itu sebenarnya adalah pangkat bapa saudaranya.


Abdul Muttalib sangat sayang kan Rasulullah saw, sehingga jika dia memanggil Nabi, dia memanggil "anakku" dan bukannya "cucuku".


pernah diriwayatkan dalam satu kisah dimana menunjukkan layanan datuk Nabi saw terhadapnya sangat istimewa. Dalam seminggu atau sebulan sekali, Abdul Muttalib akan duduk disisi Baitillah untuk memberi nasihat sambil dikelilingi oleh 10 orang anaknya lelakinya. Disitu disediakan hamparan yang istimewa untuk Abdul Muttalib dan kemudian di sediakan juga hamparan-hamparan untuk anak-anak lelakinya yang 10 orang itu. Dan anak-anaknya tidak pernah duduk di atas hamparan yang disediakan untuk Abdul Muttalib. 


Pada suatu hari, Nabi masuk ke Masjidil Haram dan terus ke tempat duduk atau hamparan yang di khaskan untuk datuknya, disebabkan hamparan yang lain telah pun dipenuhi oleh bapa-bapa saudaranya yang lain.
Nabi terus saja duduk di atas hamparan itu, dengan segera bapa-bapa saudaranya menegah perbuatan Nabi itu.
Tapi dengan cepat Abdul Muttalib berkata pada anak-anaknya yang menegah perbuatan cucunya itu...


"Biarlah anakku ini, dia suka kepada kebesaran..."


Abdul Muttalib sangat sayang pada Nabi hingga terubat sedikit sebanyak penderitaan Nabi atas kehilangan Ayah dan ibunya. Dia telah di pelihara oleh datuknya untuk tempoh 2 tahun iaitu dari umur 6 hingga 8 tahun.


Setelah Nabi merasai kasih sayang Datuknya seperti tiada bandingnya itu. tiba-tiba meninggal lah pula Abdul Muttalib. Betapa sedihnya Nabi saw mengenangkan nasibnya yang tak sudah-sudah di timpa derita. Kesedihannya terhadap pemergian datuknya lebih pedih jika di bandingkan dengan kematian Ayahnya.


Abdul Muttalib sempat mewasiatkan supaya cucunya itu dipelihara oleh Abu Talib saudara seibu dan sebapa dengan Abdullah ayah Nabi saw.

Friday, June 17, 2011

0028 Kesedihan Nabi saw

Ketika Nabi berumur dalam lingkungan 6 tahun, iaitu 2 tahun selepas Halimatus Sa'adiah menghantar Nabi ke pangkuan ibunya. Terdetik dalam hati Nabi untuk bertanya ibunya tentang satu persoalan besar. Keinginan yang kuat hasil dari permerhatian Nabi terhadap keluarga kanak-kanak lain. Dimanakah ayahnya?
Aminah binti Wahab memang sudah tahu soalan ini akan muncul dari anak tunggalnya itu. kerana dia tahu akan kecerdikan dan kepintaran Nabi, Aminah menceritakan perkara sebenar kepada Nabi. Berita ketiadaan ayahanda Nabi, yang telah kembali kepada Penciptanya menjadi satu berita yang sangat sedih kepada Nabi sekali gus membuatkan Nabi rindu kepada Allayarham ayahnya. 


Dengan terbitnya permintaan dari anak tunggalnya untuk menziarahi kubur ayahnya, Aminah terus bersetuju kerana dia juga sangat rindu pada suaminya yang telah tiada itu. Aminah hanya menunggu saat yang sesuai untuk pergi menziarahi kubur suaminya. Setelah bersiap-siap untuk mengharungi perjalanan yang jauh. Mereka bertiga (Aminah, Nabi saw, dan Ummu Aiman)  pun berangkat ke Yathrib. Setelah 15 hari dan 15 malam perjalanan, mereka pun sampai ke Yathrib. 


Setelah berehat beberapa hari di rumah sanak saudara Aminah di perkampungan Bani an-Najjar, Aminah membawa anaknya ke makam suaminya, kerana kesedihan melanda jiwa Nabi ketika itu, Nabi menangis di atas pusara ayahnya walaupun dia tidak pernah melihat wajah ayahnya.


Setelah terubat rasa rindu terhadap Abdullah suami kepada Aminah binti Wahab dan ayah kepada Nabi saw, iaitu kira-kira 1 bulan mereka tinggal di Yathrib, maka mereka bertiga pun berangkat kembali ke Mekah.


Setelah sehari semalam berjalan, mereka pun berhenti berehat di Abwa, iaitu satu perkampungan di antara Mekah dan Yathrib, dan 23 batu dari Juhfah. Ketika di Abwa lah Aminah tiba-tiba sakit. Semakin hari semakin tenat. Setelah beberapa hari, maka meninggal lah Aminah. Disebabkan perjalanan ke Mekah masih jauh, maka Aminah dikebumikan di situ juga. Maka bersedih lah kembali Nabi saw. Dugaan datang dengan bertindih-tindih, untuk mendidik jiwa Nabi. Setelah selesai pengkebumian Aminah, Nabi dan Ummu Aiman pun balik ke Mekah bersama-sama rombongan yang kebetulan lalu hendak ke Mekah. Sepanjang perjalanan Nabi menangis kerana pemergian ibunya yang tercinta itu. Nabi hanya sempat bergaul mesra dengan ibunya selama 2 tahun selepas di pelihara oleh Halimatus Sa'adiah. Bayangkanlah kanak-kanak berusia 6 tahun telah kehilangan 2 orang yang disayangi. dan terpaksa mengharungi kehidupan sebagai anak yatim. Kerana itu lah Nabi saw berpesan tentang keistimewaan anak yatim dalam Islam. Walaupun dengan mengusap rambut anak yatim, Allah swt memberi ganjaran untuk perkara yang kita anggp remeh itu.


Makam Aminah binti Wahab di al-Abwa

Monday, June 13, 2011

0027 Kembali ke Pangkuan Ibu

Setelah peristiwa yang mengejutkan keluarga Halimatus Sa'adiah terjadi, iaitu Nabi di tangkap dan dibelah dadanya oleh 2 orang yang tidak dikenali. Maka menjadi satu ketakutan pada Halimatus Sa'adiah untuk terus memelihara Nabi, di sebabkan itu dia dan suaminya Abu Kabsyah, membuat keputusan untuk menghantar kembali Nabi ke pangkuan Ibu kandungnya, Aminah.

Setelah perpisahan kali kedua, Siti Aminah untuk kali kedua memeluk anak tunggalnya dengan penuh erat. Perpisahan selama 4 tahun 2 bulan cukup membuatkanya sangat rindu pada anaknya yang comel itu. Wajahnya berseri-seri ketika menyambut Nabi dari tangan ibu susu yang diupahnya itu.

Halimatus Sa'adiah dan Abu Kabsyah pulang dengan perasaan sebak dan terharu. Kalau diizinkan Aminah mereka sanggup membela Nabi sampai bila-bila. Tetapi tujuan mereka memelihara Nabi adalah untuk mendapat upah, tidak lebih dari itu walaupun mereka sudah merasa ada ikatan yang kuat antara mereka dan Nabi.

Setelah itu, hiduplah Nabi dengan ibunya dalam keadaan serba kekurangan. Mereka juga ditemani dan di bantu oleh hamba Abdullah, Ummu Aiman. Dia terus menerus tinggal dengan Nabi dan Aminah sebagai pembantu yang sangat setia dan mulia pekertinya. Menyentuh tentang kehidupan Nabi ketika di bawah jagaan Ibunya, Aminah, mereka sering kekurangan makanan, dan barang keperluan harian, tetapi sudah menjadi kebiasaan kepada Nabi, jika makan Dia tidak akan makan hingga kenyang sebab Baginda tahu tentang keupayaan ibunya untuk mencari rezeki. Nabi  berpakaian dengan sekadar yang ada, Dia tidak meminta yang lebih, tidak pula merungut. Ketika umurnya 4-5 tahun pun Baginda sudah matang. Nabi sudah memahami erti kehidupan dan kesusahan hidup.

Tetapi mereka bernasib baik kerana ramai saudara-saudara Abdullah yang membantu Aminah. mereka sedar tentang keadaan adik ipar mereka yang serba kekurangan itu, setelah pemergian ketua rumah sebagai tempat bergantung sudah tentu hidup akan menjadi susah.


Thursday, June 9, 2011

0026 Peristiwa Dada Nabi saw Dibelah

Telah diriwayatkan oleh  Ibnu HishamIbnu Ishaq dan Ibnu Sa`d ketika Nabi berusia antara 2 hingga 4 tahun telah berlaku satu peristiwa yang menakutkan untuk keluarga Halimatus Sa'adiah. Perkara yang dianggap luar biasa bagi orang-orang seperti kita, iaitu tentang pembelahan dada Nabi. Peristiwa itu membuatkan Halimatus takut untuk memelihara Nabi dengan lebih lama.


Peristiwa berlaku ketika Nabi dan anak-anak Halimatus Sa'adiah sedang melihat anak-anak kambing Abu Kabsyah (suami Halimatus Sa'adiah) yang baru dilahirkan. Sedang mereka leka dengan perkara itu, tiba-tiba muncul 2 orang lelaki yang sangat elok rupa parasnya, berpakaian serba putih, dan terus mereka datang mengambil Nabi dan membawanya ke satu tempat berdekatan. Kedua-dua lelaki itu kemudian menidurkan Nabi kemudian membuka baju Nabi dan membelah dada Nabi. Tidak diketahui samada dada Nabi itu dibelah dengan tangan atau menggunakan alat pembedahan.


Perkara ini telah diceritaka kepada Halimatus Sa'adiah oleh salah seorang anaknya, yang berlari-lari mendapatkan ibu mereka


"Ibuuuu! ibuuu, Muhammad dibunuh, Muhammad dibunuh...!'


Mendengar jeritan anaknya itu Halimatus menjadi keras seperti batu kerana tergejut yang amat sangat. kemudian anaknya menyambung...


"Saudara saya orang Quraisy itu telah ditangkap oleh dua orang lelaki berpakaian putih. Setelah ia terlebih dahulu ditidurkan miring, lalu dibelah perutnya, yang membelahnya ialah kedua-dua orang yang menangkapnya itu. Kedua-duanya kelihatan menggerakkan badannya."


mendengar berita itu Halimatus Sa'adiah bergegas pergi mendapatkan Nabi di tempat yang diceritakan oleh anaknya tadi. Didapati Nabi berdiri dan kelihatan muka Nabi sangat pucat.


"Mengapakah engkau wahai anakku?" tanya Halimatus Sa'adiah


Nabi menjawab "Telah datang dua orang lelaki yang berbaju putih kepada Saya, kemudian menidurkan Saya, lalu membelah perut saya, kemudian keduanya mencari sesuatu dalam perut Saya, Saya tidak tahu apa yang di cari oleh kedua-dua lelaki tersebut."


Seterusnya Halimatus Sa'adiah terus membawa Nabi balik kerumah kerana bimbang perkara itu terjadi lagi.
Oleh kerana kebimbangan itu, Abu Kabsyah berkata kepada isterinya;


"Halimah! saya takut anak ini terkena apa-apa. Bawalah dia kembali kepada keluarganya sebelum terjadi apa-apa yang aku bimbangkan itu."


Selepas peristiwa itu, Abu Kabsyah tidak lagi membernarkan anak-anaknya dan Nabi bermain di kawasan yang difikirkan bahaya. Dia juga berpesan agar anak-anaknya menjaga Nabi dengan bersungguh-sungguh agar perkara yang sama tidak berulang lagi. Dikhuatiri jika ada orang yang berniat jahat terhadap Nabi. 


Diriwayatkan oleh Anas ra bahawa pembelahan itu dilakukan oleh Malaikat Jibrail as, dia membelah dan mengeluarkan hati Baginda dan membasuhnya dengan air zam-zam yang diisi didalam bekas yang diperbuat dari emas. Sambil Jibrail berkata " Dibahagian ini lah tempat Syaitan bersarang."


Didalam Fiqh Al-Sirah karangan Muhammad Sa`id Ramadan Al-Buti ada menyebut bahawa pembedahan tersebut adalah untuk membersihkan hati Baginda dari segi fizikal hati tersebut dan juga rohani, ia juga sebagai cara Allah swt mempersiapkan Baginda untuk menerima Wahyu kelak juga sebagai insan yang mak'sum.

Monday, June 6, 2011

0025 Halimatus Sa'adiah Ibu Susuan Nabi

Ketika kelahiran Nabi saw, menjadi kebiasaan kepada para ibu dari bangsa Arab Badwi yang tinggal jauh di pendalaman, datang ke kota Mekah untuk mencari bayi-bayi yang baru dilahirkan dususukan dan dipelihara. Ini kerana para ister-isteri pembesar Mekah selalunya akan mengupah ibu susuan dari desa untuk menyusu anak-anak mereka dan juga memelihara mereka setelah mereka melahirkan anak.


Mereka berduyun-duyun datang ke Mekah untuk mencari anak-anak yang baru dilahirkan. Terutamanya anak-anak pembesar Mekah. kerana upahnya yang lumayan. Malang kepada Aminah kerana dia telah kematian suami, iaitu Abdullah, berita itu telah tersebar hingga ke seluruh tempat. Maka wanita desa yang datang untuk menawarkan perhidmatan tidak singgah lansung ke rumah Aminah, kerana mereka tahu tidak akan ada upah diberi jika mereka susukan anaknya. 


Dan ketika harapan untuk Aminah hampir pudar, datanglah seorang wanita dari pendalaman iaitu dari perkampungan Bani Saad ke rumah Aminah. Wanita itu ialah Halimah binti Abu Zu'aib as-Sa'adiah yang lebih terkenal dengan nama Halimatus Sa'adiah. Dia juga merupakan isteri kepada al-Harith bin Abdul Uzza (Abu Kabsyah). Ketika semua wanita desa berebut-rebut mencari anak-anak pembesar Quraisy yang kaya. Halimatus Sa'adiah hanya melihat kerana dia seorang yang sangat lemah lembut dan penyabar. Ketika dia merayau-rayau di sekitar kota Mekah, akhirnya sampai lah dia di depan rumah Abdul Muttalib.


Pertama kali dia melihat anak kecil yang sangat comel dan sihat itu dengan tidak berpikir panjang terus dia menyatakan Hasratnya kepada Aminah dan Aminah pun bersetuju untuk memberi Nabi kepada Halimatus Sa'adiah untuk disusukan dan dipelihara. Halimatus Sa'adiah membawa Nabi pulang ke kampungnya iaitu di perkampungan Badwi Bani Saad bin Bakar yang terletak di antara kota Mekah dan Taif.


Sebelum Halimatus Sa'adiah mengambil Nabi saw, Ibunya iaitu Aminah sempat menyusukan Baginda selama lebih kurang seminggu, selepas itu Nabi disusukan pula oleh hamba Abu Lahab, Thuwaibah al-Aslamiyyah.


Thuwaibah juga menjadi ibu susu kepada bapa saudara Nabi iaitu Hamzah bin Abdul Muttalib, dan juga Abdullah bin Abdul Asad al-Makhzumi (sepupu Baginda) Anak kepada Birrah binti Abdul Muttalib.


Dalam perjalanan ke perkampungan Bani Saad dari Mekah, pelbagai perkara yang menakjubkan berlaku kepada keluarga Halimatus Sa'adiah.


Halimatus Sa'adiah bercerita;


"Tahun itu tahun kemarau. Tidak ada satu pun yang tinggal kepada kami, Saya berangkat bersama suami dan seorang anak, berangkat menyertai ibu-ibu lain. dengan menunggang keldai yang keputihan selain dari itu kami juga membawa seekor unta tua yang tidak lagi mengeluarkan susu walaupun setitik. Kami tidak dapat tidur kerana keadaan itu membuatkan anak saya sering menangis kelaparan keran tiasa susu. Air susu saya tidak lagi dapat mengenyangkannya, susu unta juga tidak ada."


"pada malam itu saya berangkat dengan menunggangi keldai saya yang cepat lelah kerana kurus dan lemah. Akhirnya sampai lah kami ke Mekah untuk mencari anak yang akan disusukan. Sebenarnya Rasulullah saw di tawarkan kepada setiap ibu-ibu yang lain, tetapi semua menolaknya, kerana anak itu anak yatim."


"Saya pun berkatalah dalam diri saya. Demi Allah! saya mesti mengambil anak yatim tersebut, biarlah saya ambil dia."


perkara itu pun dipersetujui oleh suami Halimatus Sa'adiah.


"Tiada apa yang mendorong saya untuk mengambilnya kerana tidak ada anak lain untuk disusukan. saya pun mengambil cucu Abdul Muttalib itu dan meletakkan di pangkuan saya, Dia terus menyusu minum sampai sepuas-puasnya. Saudara sesusu Nabi (anak Halimatus Sa'adiah) pun turut menikmati susu saya hingga kenyang kemudian keduanya terus tidur. padahal sebelum itu saya kekeringan susu."


"Suami saya pergi ke tempat unta kami, dilihatnya unta kurus itupun sudah penuh dengan susu. Lalu diperahnya dan dibawa pulang. Kami pun dapat tidur malam itu dengan nyenyak. Suami saya berkata pada saya."


"Percayalah Halimah. Demi Allah! Bahawa engkau sudah mengambil anak yang berkat sekali."


"Demikianlah kamipun menuju ke tempat kediaman kami bersama dengan Muhammad. Demi Allah! perjalanan kami amat cepat sekali. Tidak ada himar teman-teman saya yang dapat mengikuti perjalanan kami. Sehingga mereka berkata."


"Wahai Halimah! Kasihanilah sedikit kepada kami. Bukankah ini himar engkau yang kelmarin yang engkau bawa ke Mekah?"


 "ya. "


"Demi Allah! Tentu ada sesuatu yang terjadi."


"Demikianlah kami sampai di perkampungan Bani Saad. Saya tidak tahu apakah ada lagi tempat yang lebih kemarau dari tempat kami itu. Sungguh pun demikian waktu kami sampai, saya lihat semua kambing-kambing kami semuanya sudah kenyang dan susunya pula penuh. Lalu kami perah dan minum. Sedangkan teman-teman yang lain setitik pun tidak ada susu pada kambing-kambing mereka." 


ini menimbulkan kehairanan pada jiran-jiran Halimatus Sa'adiah, hingga mereka pun berkata.


"Wahai Halimah! Sungguh beruntung kamu kerana memelihara anak Aminah itu. Sesungguhnya anak itu membawa keberkatan kepada mu."


Ada juga jiran Halimatus Sa'adiah berkata


"Celaka kita, lepaskanlah kambing-kambing ke tempat Halimah melepaskan Kambingnya."


Tetapi setelah kembali dari tempat ragut kambing-kambing Halimatus Sa'adiah, Kambing-kambing mereka pulang dengan lapar juga, dan tidak ada yang mengeluarkan susu. Begitulah terus menerus Halimatus Sa'adiah dan keluarganya mendapat kurniaan rezki dari Tuhan hingga genaplah umur Nabi 2 tahun.


Nabi dipelihara oleh Halimatus Sa'adiah sekeluarga di Desa Bani Saad hingga usia Baginda 2 tahun. Abu Kabsyah dan anak perempuannya Asy-Syima' juga turut menjaga Nabi.


Setelah Genap 2 tahun, Halimatus Sa'adiah membawa Nabi pulang ke pangkuan Ibu kandungnya, Aminah.


Aminah memelihara Nabi hanya sebentara sahaja kerana Halimatus Sa'adiah meminta keizinan dari Aminah untuk memelihara Nabi semula. Ini kerana dia terlalu sayang kan Nabi hingga dia tidak sanggup berpisah denganNya. Selepas itu Nabi dibawa pulang sekali lagi ke ke perkampungan Bani Saad, dibesarkan disana hingga usia baginda 4 tahun 2 bulan iaitu lebih kurang 50 bulan.


Maka hidup lah Nabi di desa yang aman dan tenteram itu. Pertuturan di kalangan Bani Saad membuatkan Nabi bertutur dalam bahasa Arab yang sangat fasih. ini kerana bahasa Arab Kabilah Bani Saad adalah satu-satunya kabilah yang paling fasih bahasa Arabnya. Nabi pernah bersabda;


"Aku adalah orang yang paling fasih diantara kamu, dan aku orang Quraisy yang dibesarkan di dusun keluarga Bani Saad bin Bakar."

Saturday, June 4, 2011

0024 Kegembiraan Abu Lahab

Bapa saudara Nabi iaitu Abdul Uzza atau lebih dikenali dengan gelaran Abu Lahab, adalah antara orang yang paling gembira dengan kelahiran Baginda Nabi. Setelah berita tentang adik iparnya iaitu Aminah melahirkan bayi yang sangat comel dan sihat, dia lah orang yang terserlah kegembiraannya. Disebabkan hal itu dia telah memerdekakan hambanya iaitu Thuwaibah al-Aslamiyyah, wanita dari bani Aslam. Abdul Uzza lah yang menyuruh Thuwaibah untuk menyusukan Nabi sementara mendapat penyusu upahan. Disebabkan Thuwaibah berhutang dengan Abu Lahab dengan banyak sekali, dia telah menjadi hamba kepada Abu Lahab kembali.


Kerana gembiranya Abu Lahab, dia telah mengadakan majlis Aqiqah pada hari ke tujuh dari hari kelahiran Nabi, dengan menyembelih beberapa ekor unta. Inilah Majlis Maulidur Rasul yang pertama diadakan dalam sejarah Rasulullah saw.


Sedikit Kisah Abu lahab setelah kerasulan Nabi.
Setelah Nabi berkahwin dengan Siti Khadijah binti Khuwailid, Abu Lahab telah menjodohkan anak-anak lelakinya dengan puteri-puteri Nabi. Iaitu anak sulungnya Utbah dengan Ruqaiyyah, dan anak keduanya Utaibah dengan Ummu Kalthum. Ini kerana dia sangat senang dengan Muhammad. Dan anak-anaknya itu pun sangat mencintai anak-anak Rasulullah, yang cantik dan bijak seperti ayah mereka. Tetapi kebahagiaan itu hanya sementara apabila Muhammad diangkat oleh Allah menjadi Rasul, Abu Lahab telah menjadi penentangnya yang utama. Beliau menyuruh kedua-dua anak lelakinya menceraikan isteri masing-masing. Maka kdeua-duanya menceraikan isteri masing-masing. Utbah merasa sangat berat untuk menceraikan isterinya Ruqaiyyah, kerana dia sangat menyayangi isterinya itu, tambahan pula puteri Nabi itu sangat cantik orangnya, dan pandai pula mengambil hati. Lain pula halnya dengan Utaibah, dia dengan senang hati menceraikan isterinya Ummu Kalthum, kerana hatinya juga keras seperti hati ayahnya.


Selepas peristiwa itu, Utaibah menghantar puteri nabi iaitu bekas isterinya Ummu Kalthum ke rumah Nabi. Dia juga mengambil kesempatan menendang pinggang Nabi hingga Nabi jatuh. Menyebabkan Nabi tidak dapat menahan marahnya lagi hingga Baginda menyumpah Utaibah.


"Wahai Utaibah! Nanti kamu akan dibaham oleh salah seekor daripada singa-singa Allah."


Ketika Abu Lahab dan anaknya Utaibah dalam perjalanan ke tempat perniagaan (boleh jadi ke Syam atau Yaman) mereka telah berhenti berehat dan tidur disatu tempat. Disebabkan mereka risau akan sumpah Nabi terhadap Utaibah itu, maka Abu Lahab menyuruh anaknya tidur di tengah-tengah rombongan peniaga. Tetapi singa datang di waktu semua ahli rombongan telah tidur, dan menerkam ke tengah lalu mematahkan leher Utaibah lalu matilah dia di situ juga. Kehilangan anaknya Utaibah itu membuatkan Abu Lahab merasa sedih dan menyemarakkan api kebencian terhadap Muhammad saw.


Dialah antara orang yang namanya diabadikan dalam al-Quran, sebagai orang yang sangat celaka. Kisahnya disebutkan dalam surah al-Lahab, sebagai orang yang dilaknat Allah swt hingga hari Kiamat.





Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  1. Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.
  2. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan.
  3. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.
  4. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.
  5. Yang di lehernya ada tali dari sabut.