Bapa saudara Nabi iaitu Abdul Uzza atau lebih dikenali dengan gelaran Abu Lahab, adalah antara orang yang paling gembira dengan kelahiran Baginda Nabi. Setelah berita tentang adik iparnya iaitu Aminah melahirkan bayi yang sangat comel dan sihat, dia lah orang yang terserlah kegembiraannya. Disebabkan hal itu dia telah memerdekakan hambanya iaitu Thuwaibah al-Aslamiyyah, wanita dari bani Aslam. Abdul Uzza lah yang menyuruh Thuwaibah untuk menyusukan Nabi sementara mendapat penyusu upahan. Disebabkan Thuwaibah berhutang dengan Abu Lahab dengan banyak sekali, dia telah menjadi hamba kepada Abu Lahab kembali.
Kerana gembiranya Abu Lahab, dia telah mengadakan majlis Aqiqah pada hari ke tujuh dari hari kelahiran Nabi, dengan menyembelih beberapa ekor unta. Inilah Majlis Maulidur Rasul yang pertama diadakan dalam sejarah Rasulullah saw.
Sedikit Kisah Abu lahab setelah kerasulan Nabi. Setelah Nabi berkahwin dengan Siti Khadijah binti Khuwailid, Abu Lahab telah menjodohkan anak-anak lelakinya dengan puteri-puteri Nabi. Iaitu anak sulungnya Utbah dengan Ruqaiyyah, dan anak keduanya Utaibah dengan Ummu Kalthum. Ini kerana dia sangat senang dengan Muhammad. Dan anak-anaknya itu pun sangat mencintai anak-anak Rasulullah, yang cantik dan bijak seperti ayah mereka. Tetapi kebahagiaan itu hanya sementara apabila Muhammad diangkat oleh Allah menjadi Rasul, Abu Lahab telah menjadi penentangnya yang utama. Beliau menyuruh kedua-dua anak lelakinya menceraikan isteri masing-masing. Maka kdeua-duanya menceraikan isteri masing-masing. Utbah merasa sangat berat untuk menceraikan isterinya Ruqaiyyah, kerana dia sangat menyayangi isterinya itu, tambahan pula puteri Nabi itu sangat cantik orangnya, dan pandai pula mengambil hati. Lain pula halnya dengan Utaibah, dia dengan senang hati menceraikan isterinya Ummu Kalthum, kerana hatinya juga keras seperti hati ayahnya.
Selepas peristiwa itu, Utaibah menghantar puteri nabi iaitu bekas isterinya Ummu Kalthum ke rumah Nabi. Dia juga mengambil kesempatan menendang pinggang Nabi hingga Nabi jatuh. Menyebabkan Nabi tidak dapat menahan marahnya lagi hingga Baginda menyumpah Utaibah.
"Wahai Utaibah! Nanti kamu akan dibaham oleh salah seekor daripada singa-singa Allah."
Ketika Abu Lahab dan anaknya Utaibah dalam perjalanan ke tempat perniagaan (boleh jadi ke Syam atau Yaman) mereka telah berhenti berehat dan tidur disatu tempat. Disebabkan mereka risau akan sumpah Nabi terhadap Utaibah itu, maka Abu Lahab menyuruh anaknya tidur di tengah-tengah rombongan peniaga. Tetapi singa datang di waktu semua ahli rombongan telah tidur, dan menerkam ke tengah lalu mematahkan leher Utaibah lalu matilah dia di situ juga. Kehilangan anaknya Utaibah itu membuatkan Abu Lahab merasa sedih dan menyemarakkan api kebencian terhadap Muhammad saw.
Dialah antara orang yang namanya diabadikan dalam al-Quran, sebagai orang yang sangat celaka. Kisahnya disebutkan dalam surah al-Lahab, sebagai orang yang dilaknat Allah swt hingga hari Kiamat.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.
Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan.
Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.
Setelah Nabi dilahirkan, Siti Shifa' terus memandikannya dan memakaikannya dengan kain putih yang bersih seperti keadaan Nabi ketika itu juga. Dalam pada itu Siti Aminah pula tidak henti-henti menangis, memikirkan yang Nabi tidak lagi dapat melihat wajah ayahnya. Kehidupan Nabi selepas ini tidak akan menjadi sama seperti kanak-kanak lain yang mempunyai bapa. Siti Aminah sedih melihat anak sulungnya itu tidak akan menikmati pelukan ayah, tidak dapat bermain-main dengan ayahnya seperti kanak-kanak lain. Tetapi dia redha akan keadaan yang menimpa dia dan anaknya itu. Selepas selesai membalut Nabi dengan kain putih, Siti Shifa' memberitahu Aminah yang dia akan membawa anak itu untuk di tunjukkan pada Abdul Muttalib yang sedang bermunajat di sisi Ka'abah.
Setelah sampai di sana Siti Shifa' terus memberi Nabi pada Datuknya. Abdul Muttalib mengambil Nabi dari Siti Shifa dengan perasaan yang terharu dan sangat gembira. Dengan tidak membuang masa, Dia terus masuk kedalam Ka'abah sambil menimang-nimang cucu kesayangannya itu. Setelah beberapa lama berada didalam Ka'abah dia terus pergi mendapatkan menantunya yang masih lagi lemah kesan dari bersalin tadi. Dalam benaknya dia telah mendapat ilham untuk menamakan cucu kesayangannya. Dia membawa Nabi didepan Aminah bertemankan Siti Shifa' di sebelah lalu dia berkata sambil menimang-nimang cucunya itu;
"Ayah mahu menamakan bayi ini Qutsam."
Tersentak dengan pernyataan itu Siti Aminah terus membantah cadangan mertuanya itu dengan lembut;
"Wahai ayah! Sesungguhnya saya telah bermimpi ada satu lembaga yang menyuruh saya namakan anak ini Muhammad."
Tergejut dengan nama yang dikatakan oleh menantu nya itu, hingga membuatkan dia terdiam seketika. Nama itu belum pernah diberikan oleh orang Arab kepada anak-anak lelaki mereka. Jika ada pun amatlah jarang sekali orang Arab waktu itu menggunakan nama Muhammad. Itu pun setelah mereka mendengar perkabaran akan ada Nabi Akhir zaman yang akan dilahirkan oleh pendita-pendita Yahudi, dan pengamal-pengamal kitab terdahulu.
Sejarah merakamkan cuma 3 orang sahaja yang menggunakan nama Muhammad ketika itu, salah seorang daripadanya adalah Muslamah dari Yathrib, yang menamakan anaknya dengan nama Muhammad, yang akhirnya menjadi sahabat Nabi.
Nama Muhammad bererti Insan Yang Terpuji
7 Hari dari hari kelahiran Nabi, Abdul Muttalib mengadakan Aqiqah dengan menumbangkan beberapa ekor kambing. Dia menjemput kesemua pembesar-pembesar Quraisy, sebagai tanda syukurnya pada Allah swt keatas cucunya itu, sebagai ganti kepada anaknya yang telah meninggal dunia. Jika Abdul Muttalib tahu akan takdir yang telah ditentukan oleh Allah swt kepada cucunya Muhammad itu kelak, tentu dia lebih-lebih gembira dan bersyukur.
Peristiwa paling bersejarah itu berlaku pada malam isnin di bulan Rabiul Awwal pada 12 haribulan tepat dengan 570 masehi, Lahirlah seorang bayi lelaki yang sempurna sifatnya. Inilah peristiwa yang menjadi titik tolak dan perubahan kepada seluruh alam, bukan sahaja setakat manusia malah seluruh makhluk. Subhanallah.
Menurut sumber (ketinggian Risalah Nabi Muhammad saw) kelahiran Rasulullah saw di sambut oleh Ummu Aiman, hamba kepada Nabi, dialah yang seterusnya mengasuh dan merawat Nabi ketika kecil. tapi ada setengah riwayat mengatakan yang menyambutnya adalah Siti Shifa' ibu kepada Abdul Rahman bin Auf.
Banyak sumber-sumber sejarah merakamkan peristiwa-peristiwa kerasulan (Irhas) ketika peristiwa kelahiran Rasulullah saw. antaranya ialah;
info ; irahs terbahagi kepada 3 iaitu;
Tanda-tanda akan lahirnya seorang Nabi dalam kitab-kitab terdahulu
Tanda-tanda yang diberikan dalam mimpi-mimpi orang-orang alim.
dan akhir sekali ialah peristiwa aneh yang berlaku ketika kelahiran Nabi.
Ketika mengandungkan Nabi, Siti Aminah tidak merasa sakit seperti ibu-ibu mengandung lain.
Aminah juga didatangi oleh malaikat memberitahu yang dia sebenarnya telah hamil dan sedang mengandungkan seorang Nabi dan Rasul yang membawa rahmat keseluruh alam.
Ketika Aminah sedang mengandung, Allah swt memerintahkan malaikat supaya di tutup pintu-pintu Neraka dan dibuka pintu-pintu Syurga, dan Allah swt juga memerintahkan supaya disebarkan berita kelahiran Nabi kekasihNya itu ke seluruh penghuni langit.
Bumi juga meraikan detik hebat ini, ketika Nabi masih lagi dalam kandungan tanah-tanah menjadi subur dan pohon-pohon menjadi rendang dan lebat berbuah.
Peristiwa pelik dan aneh yang disaksikan oleh Abdul Rahman bin Auf ialah kenapa anak sulung kepada Aminah itu tidak menangis ketika Dia keluar dari perut Aminah, tidak seperti anak-anak orang yang lain, tetapi sebaliknya Nabi kita bersin ketika keluar dari perut ibuNya. seperti bapa manusia kita Adam as.
ketika itu rumah Abdul Muttalib diterangi cahaya pelita dan damar sahaja, tetapi suasana berubah serta merta ketika Nabi dilahirkan. Rumah Abdul Muttalib menjadi terang seperti siang kesan dari cahaya yang terpancar dari Nabi.
Keadaan di Ka'abah pula, semua berhala-berhala di sekeliling Ka'abah jatuh seperti di tolak oleh suatu yang kuat. Dalam satu sumber pula mengatakan bahawa ketika itu Abdul Muttalib sedang bermunajat kepada Allah swt, dan kemudian kesemua berhala-berhala keliling Ka'abah itu jatuh, dan Abdul Muttalib mendengar satu suara dari Ka'abah seolah-olah Ka'abah itu yang bercakap, ia mengatakan "telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui."
Ketika Rasulullah saw lahir satu cahaya yang sangat kuat terpancar dan menuju kelangit seperti anak panah dan menerangi langit. Dalam riwayat terdahulu menyatakan bahawa cahayanya dapa dilihat hingga ke Negeri Syam, yang mengambil masa 15 hari perjalanan dari Mekah.
Istana Kisra di Parsi mendapat goncangan yang kuat, kesannya 14 tiang utama dalam istana itu retak dan menyebabkan Istana itu runtuh.
Api besar yang menjadi objek sembahan para penganut agama Majusi yang tidak pernah terpadam selama lebih seribu tahun, telah terpadam ketika hari kelahiran Rasulullah saw
Ada satu riwayat menyatakan bahawa Tasik Sava(penulis masih lagi membuat kajian dimanakah lokasi tasik ini) menjadi Kering dan mendap ketika Kelahiran Nabi.
Ketika kelahiran Nabi Muhammad saw, langit menjadi cerah dan sangat cantik, dan penanda bahawa semua berita-berita dari langit telah terhalang dari pengetahuan Jin dan syaitan.
Menurut satu sumber An-ni’matul Kubraa’alal Aalam hasil tulisanImam Shihabuddin Ahmad bin Hajar Al-Haitami Asy-syafi’i Irhas berlaku sebelum Aminah melahirkan Nabi lagi iaitu pada setiap malam bermula pada 1 Rabiul Awwal hingga malam kelahiran Nabi 12 Rabiul Awwal antaranya ialah;
Pada Malam Pertama
Allah swt melimpahkan segala kedamaian dan ketenteraman yang luar biasa sehingga Aminah merasakan dirinya amat tenang dan damai... tidak pernah dirasakan sebelum ini.
Pada malam ke 2 :
Datang seruan berita gembira kepada Aminah yang menyatakan dirinya akan mendapati anugerah yang luar biasa dari Allah swt.
Pada malam ke 3 :
Aminah terdengar dalam mimpinya “Wahai Aminah… sudah dekat saat engkau melahirkan Nabi yang agung dan mulia, Muhammad Rasulullah saw yang senantiasa memuji dan bersyukur kepada Allah swt.”
Pada malam ke 4 :
Aminah mendengar secara Jelas dan nyata tasbih yang diucapkan oleh para Malaikat. tidak pula diketahui samaada hal ini berlaku ketika Aminah dalam keadaan sedar atau tidak.
Pada malam ke 5 :
Aminah bermimpi dengan Nabi Allah Ibrahim as.
Pada malam ke 6 :
Aminah bermimpi melihat cahaya Nabi Muhammad saw memenuhi alam semesta.
Pada malam ke 7 :
Siti Aminah melihat para malaikat silih berganti saling berdatangan mengunjungi kediamannya membawa kabar gembira sehingga kebahagiaan dan kedamaian semakin memuncak.
Pada malam ke 8 :
Siti Aminah mendengar seruan Malaikat memanggil dan memberitahu, suara tersebut terdengar dengan jelas mengatakan “Bahagialah wahai seluruh penghuni alam semesta, telah dekat kelahiran Nabi agung, Kekasih Allah swt Pencipta Alam Semesta.”
Pada malam ke 9 :
Allah swt semakin mencurahkan rahmat belas kasih sayang kepada Siti Aminah sehingga tidak ada sedikitpun rasa sedih, susah, sakit, dalam jiwa Siti Aminah.
Pada malam ke 10 :
Siti Aminah melihat tanah Tho’if dan Mina ikut bergembira menyambut kelahiran Baginda Nabi Muhammad saw.
Pada malam ke 11 :
Siti Aminah melihat seluruh penghuni langit dan bumi ikut bersuka cita menanti kelahiran Rasulullah saw.
Pada Malam Kelahiran
Siti Aminah bersendirian di rumah tidak ditemani oleh sesiapa pun. (hal ini bertentangan sekali dengan fakta dari sumber diatas- dimana Siti Aminah ditemani oleh Ummu Aiman dan Siti Shifa')
Tiba-tiba Siti Aminah melihat tiang rumah Abdul Muttalib terbelah dan muncul 4 orang perempuan yang sangat jelita berpakain putih dan berbau sangat harum.
Wanita pertama datang berkata,”Sungguh berbahagialah engkau wahai Aminah, sebentar lagi engkau akan melahirkan Nabi yang agung, junjungan semesta alam. Beliaulah Nabi Muhammad saw. Kenalilah aku, bahwa aku adalah isteri Nabi Allah Adam as, ibunda seluruh uamt manusia., aku diperintahakan Allah untuk menemanimu.”
Kemudian datanglah wanita kedua yang menyampaiakan khabar gembira, “Aku adalah isteri Nabi Allah Ibrahim as diperintahkan Allah swt untuk menemanimu.”
Begitu pula menghampiri wanita yang ketiga,”Aku adalah Asiyah binti Muzahim, diperintahkan Allah untuk menemanimu.” (isteri Fir'aun)
Datanglah wanita ke empat,”Aku adalah Maryam, ibunda Isa as menyambut kehadiran putramu Muhammad Rasulullah.”
Ketika Siti Aminah semakin merasa tenang dalam dirinya, datang lah mahkluk yang bercahaya bersilih ganti mendoakan kesejahteraan kepada nya dan mengucapkan pujia-pujian kepada Allah swt.
Seterusnya Siti Aminah melihat atap rumah terbuka dan terlihat oleh beliau bermacam-macam bintang di angkasa yang sangat indah berkilau saling beterbangan.
Allah memerintahkan kepada Malaikat Ridhuan agar memberitahu seluruh bidadari syurga agar berdandan cantik dan rapi, memakai segala macam bentuk perhiasan kain sutera dengan bermahkota emas, intan permata yang bergemerlapan, dan menebarkan wangi-wangian syurga yang harum semerbak ke segala arah. sempena kelahiran Kekasih Allah swt.
Lalu Allah swt memanggil : “Yaa Jibril… serukanlah kepada seluruh arwah para nabi, para rasul, para wali agar berkumpul, berbaris rapi, bahwa sesungguhnya Kekasihku cahaya di atas cahaya, agar disambut dengan baik dan suruhlah mereka menyambut kedatangan Nabi Muhammad saw.
Yaa Jibril… perintahkanlah kepada Malaikat Malik agar menutup pintu-pintu neraka dan perintahakan kepada Malaikat Ridwan untuk membuka pintu-pintu syurga dan bersoleklah engkau dengan sebaik-baiknya keindahan demi menyambut kekasihKu Nabi Muhammad saw.
Yaa Jibril… bawalah seluruh malaikat yang ada di langit, turunlah ke bumi, ketahuilah KekasihKu Muhammad saw telah siap untuk dilahirkan dan sekarang tiba saatnya Nabi Akhiruzzaman.”
Dan turunlah semua malaikat, maka penuhlah isi bumi ini dengan malaikat. Lalu ibunda Rasulullah saw di bumi, beliau melihat malaikat itupun berdatangan membawa kayu-kayu gahru yang wangi dan memenuhi seluruh alam. Pada saat itu pula mereka semua berzikir, bertasbih, bertahmid, dan pada saat itu pula datanglah burung putih berkilau cahaya mendekati Siti Aminah dan mengusapkan sayapnya pada Siti Aminah, maka pada saat itu pula lahirlah Muhammad Rasulullah saw dan tidaklah Sayyidah Aminah melihat kecuali cahaya, tak lama kemudian terlihatlah jari-jari Nabi Muhammad saw bersujud kepada Allah seraya mengucapkan, “Allahu Akbar.. Allahu Akbar.. Walhamdulillahi katsiro, wasubhanallahibukrotan wa asiilaa.”
Semakin memuncaklah kegembiraan seluruh alam dunia dan semesta dan terucaplah “Yaa Nabi Salam Alaika… Yaa Rasul Salam Alaika… Yaa Habib Salam Alaika… Sholawatullah Alaika.. ”
Matanya bagaikan telah dipakaikan sifat mata, senyum indah terpancar dari wajahnya dan hancurlah berhala-berhala dan bergembiralah semua alam semesta menyambut kelahiran Nabi yang mulia…
(Bagaimanapun sumbernya belum pernah didengar sebelum ini... sekadar merujuk kepada sumber dari buku yang di nyatakan diatas )
Kelahiran Nabi Muhammad saw bukan sahaja dirasai oleh penduduk setempat ketika itu atau pun keluarga Abdul Muttalib tetapi di raikan oleh seluruh alam. Nabi pembawa rahmat seluruh alam bukan setakat alam dunia bahkan alam Akhirat sekalipun.
Ketika keluar dari kota Mekah, Abdul Muttalib berdoa kepada Allah swt.
"Wahai Tuhanku! kami hamba hanya dapat mempertahankan binatang ternakan kami, maka pertahankanlah gembalaanmu (Ka'abah). Janganlah salib yang menjadi pujaan mereka sampai mengalahkan Ka'abah yang menjadi simbol Engkau. Jika Engkau membiarkan mereka memusnahkan kiblat kami, maka terserahlah kepada Engkau. Wahai Tuhan! Peliharalah Rumah Engkau ini daripada golongan salib dan penyembah-penyembah salib itu."
Setelah selesai berdoa Dia Abdul Muttalib bin Hasyim pun keluarlah dari kota Mekah buat sementara waktu bersama-sama penduduk-penduduk yang lain. Masing-masing mengharapkan supaya Allah swt melindungi Ka'abah supaya tidak terjadi apa-apa padanya, terutamanya Abdul Muttalib. Mereka semua berkumpul di atas bukit di pinggir kota Mekah dimana mereka boleh menyaksikan upacara pencerobohan yang pertama ke atas Ka'abah sejak zaman Nabi Ibrahim as. Sebelum kejadian ini Ka'abah hanya pernah rosak sekali di bahagian dindingnya akibat banjir.
Dengan tidak membuang masa lagi Abrahah terus memekik supaya dijalankan segera kerja-kerja meroboh Ka'abah. 12 gajah yang besar-besar bersama-sama gembalanya yang gagah menghampiri Ka'abah. Setelah gajah-gajah susah hampir dengan kedudukan Ka'abah, tiba-tiba semua gajah-gajah itu berhenti dari melangkah. tidak mahu bergerak lagi. Sebaliknya gajah-gajah tentera Abrahah itu tiba-tiba duduk di atas pasir, seakan-akan ada sesuatu yang menahan mereka dari maju ke depan. Berkali-kali gembala-gembala gajah, memukul-mukul badan gajah supaya kembali bergerak merobohkan Ka'abah tetapi gagal.
Tetapi yang peliknya, apabila mereka membawa gajah-gajah itu berpatah balik ke arah khemah Abrahah, dengan cepat gajah-gajah itu bangun dan bergerak. Ketika keadaan kelam kabut ini berlaku, Nufail bin Habib menyusup keluar dari tahanan tentera Abrahah dan bergabung dengan Abdul Muttalib yang sedang memerhatikan kerenah gajah-gajah dari atas bukit.
Dalam keadaan kelam kabut para gembala berusaha menolak gajah-gajah untuk merobohkan Ka'abah, tiba-tiba muncul seperti awan gelap dari arah Laut Merah. Semua tentera-tentera Abrahah dan termasuk Abrahah sendiri terpaku seketika melihat fenomena awan gelap yang tiba-tiba muncul dan semakin menghampiri mereka. Tetapi setelah di amati betul-betul nyatalah benda yang disangka awan gelap seperti awan yang membawa hujan lebat itu, bukanlah awan sebenarnya. Itulah kawanan burung yang di hantar oleh Allah swt untuk memusnahkan pasukan bergajah dan tentera-tentera Abrahah.
Kisah Ini ada disebutkan oleh Allah swt dalam surah al-Fil
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, -
Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, -
Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.
Allah menyebut nama burung itu Ababil, berapakah bilangan burung-burung itu tidaklah diketahui secara tepat. Berkemungkinan hingga jutaan ekor banyaknya.
Tentera Allah swt terbang menegak di atas kepala tentera-tentera bergajah Abrahah, dan melemparkan batu-batu sijjil batu-batu keras seperti kekacang putih, yang sangat panas.
Kerana asyiknya mereka mendongak keatas melihat kehebatan tentera Allah itu, tiba-tiba mereka mula merasa sakit yang teramat sangat pada muka dan kulit-kulit mereka. bila dilihat rupanya kulit-kulit tentera Abrahah dan Abrahah sendiri koyak rabak terkena lontaran batu Sijjil. Kulit-kulit mereka melecuh dan terus belubang. Bertempiaran lah lari untuk selamatkan diri dari serangan burung Ababil yang tak ubah seperti seekor binatang yang ganas dan sangat besar. (Macam T-rex mengamuk) Akhirnya bergelimpangan bangkai manusia dipadang pasir tandus itu. Setelah hari berganti bulan berlalu, bangkai-bangkai manusia semua ditimbus oleh pasir yang ditiup angin.
Abrahah bin Asram sempat melarikan diri dan berpatah balik ke Yaman. Dia menunggang Gajahnya yang bernama Mahmud itu terus ke Yaman. Tetapi disebabkan bisanya kesakitan dan racun yang terdapat pada batu-batu sijjil itu, hingga badan Abrahah berlubang-lubang, Dia tidak sempat sampai ke pintu gerbang kota San'a Yaman. ketika hampir dengan pintu kota itu, dada Abrahah meletus pecah, dan nanah bersemburan keluar dari badannya yang mula membusuk itu. Dia dengan serta-merta mati disitu juga.
Setelah pasukan Abrahah binasa banyak lah barang-barang berharga yang tinggal di sekitar kota Mekah. Yang mula-mula sekali mengutip barang-barang ini adalah Abdul Muttalib dan seorang lagi ialah Affan bin Abul Ass bin Umayyah, iaitu ayah kepada Sayyidina Uthman bin Affan. dan seorang lagi ialah dari suku Thaqif iaitu Abu Mas'ud al-Thaqafi. Inilah Puncanya yang dikatakan oleh Allamah as-Sibtu bin al-Jauzi, pengarang kitab Mir'atuz Zaman kenapa Uthman bin Affan menjadi kaya raya.
Sebelum kita menceritakan kisah kelahiran Rasul junjungan kita Nabi Muhammad saw, penulis ingin menceritaka dahulu tentang peristiwa tahun gajah.
Nabi Muhammad saw dilahirkan di kota Mekah pada tahun Gajah bersamaan 570 Masehi. Pada tahun yang sama itu lah berlakunya serangan tentera bergajah ke atas kota Mekah dari Yaman, untuk meruntuhkan kota Mekah.
Pada tahun itu negeri Yaman mempunyai seorang Gabenor yang bernama Abrahah bin Asram. Sejak beliau di lantik menjadi gabenor beliau sering merasa tidak puas hati terhadap Baitillah iaitu rumah Allah kerana ketika musim haji berpusu-pusu orang datang dari pelbagai arah dan kabilah untuk menunaikan haji.
Sungguhpun begitu masyarakat arab ketika itu tidak lagi menunaikan haji mengikut syariat yang dibawa oleh Nabi Ibrahim as, tetapi kemeriahan yang tercetus dari musim haji ini tetap sama ketika zaman Nabi Ibrahim as dulu.
Keadaan itulah yang membuatkan Abrahah bin Asram merasa dengki dan sakit hati dengan kemakmuran dan kemeriahan Kota Mekah setiap kali tibanya musim Haji. Sakitnya hati Abrahah hingga membuatkan dia tidak dapat tidur malam.
Setelah puas berfikir, Abrahah pun nekad untuk membina sebuah gereja baru di Yaman, dengan tujuan untuk menarik pengujung-pengujung kota Mekah berpindah ke Yaman pula. Maka dia pun mengerah rakyatnya supaya membina gereja yang bentuk nya sedikit berlainan dari gereja-gereja yang biasa di lihat. Gereja yang di bina itu lebih kepada acuan dan rupabentuk Ka'abah, kayu-kayu ditatah emas dan kebanyakkan perhiasan nya di tatah perak. Setelah siap Abrahah dengan bangganya menamakan gereja itu al-Qalisy.
Tindakan seterusnya, Abrahah terus menyeru penduduk arab yang berada di sekitar Yaman supaya menunaikan haji di gereja barunya yang terletak di kota San'a. Tetapi seruannya itu tidak mendatangkan apa-apa hasil kerana orang-orang Arab terus menunaikan Haji di Mekah.
Disebabkan sikap dingin orang ramai, api kemarahan Abrahah tidak dapat di bendung lagi kerana seruan dan usahanya menjadi sia-sia. Abrahah menjadi semakin marah apabila ada seorang Arab dari suku Kinanah sengaja membuang air besar di dalam gerejanya, kerana rasa benci pada gereja itu.
Maka berfikir lah lagi Abrahah bagaimana untuk selesaikan masalah ini.
Kerana marahnya Abrahah dia terus mengambil langkah drastik, iaitu menubuhkan satu pasukan tentera bergajah untuk merobohkan Ka'abah. Tentera yang terdiri dari 20,000 orang tentera itu, banyak membinasakan penempatan di sepanjang laluan ke Mekah itu. Disebabkan berita tentang tujuan Abrahah telah tersebar di serata tempat maka ada juga yang tampil ke depan untuk menghalang niat Abrahah itu. Pemimpin kabilah seperti, Zan Nafaraini telah nekad untuk berlawan dengan Abrahah, tetapi disebabkan jumlah orangnya yang sedikit dia telah di tawan oleh Abrahah dan di bawanya sekali dalam perjalanan ke Mekah. dan seorang lagi Kabilah yang menentang adalah, Nufail bin Habib dari kabilah Khat'sam. tetapi dia juga tewas.
gambar hiasan
Tentera Abrahah Tersasar ke Taif
Dalam perjalanan menuju ke Mekah itu sebenarnya arah yang dituju oleh angkatan tentera Abrahah bin Asram telah tersasar dari laluan sebenar. Tentera pimpinannya itu telah tersasar ke arah Timur dan sampai ke Taif.
Diriwayatkan bahawa keadaan itu terjadi kerana Abrahah telah ditipu oleh penunjuk jalan yang mereka temui sepanjang perjalanan. Ini disebabkan berita Abrahah ingin merobohkan Ka'abah itu telah sampai diseluruh tempat. Disebabkan orang-orang Arab memandang suci rumah Allah iaitu Ka'abah di Mekah, maka mereka pun menunjukkan jalan yang salah kepada Abrahah.
Arahan Mengosongkan Kota Mekah
Setelah tersasar hingga ke Taif, Abrahah dan tenteranya berpatah balik dan menuju ke Mekah. Setelah 15 hari mengharungi padang pasir yang berdebu itu, mereka pun sampai ke Mekah dan mereka berhenti di pinggir kota Mekah. Abrahah tidak mahu terus masuk ke Mekah kerana tidak mahu penduduk Mekah tercedera. Bukanlah tujuannya untuk berperang dengan penduduk Mekah tetapi dia membawa 20,000 bala tentera hanya untuk merobohkan rumah Allah yang tertua di dunia, Ka'abah.
Sementara menunggu reaksi pembesar Mekah terhadap niatnya itu. Dia mengerahkan tenteranya untuk dirikan khemah sementara di pinggir kota Mekah. Ketika Abrahah menunggu dalam khemahnya. Beberapa orang tenteranya telah melakukan perbuatan khianat. Iaitu dengan merompak harta benda penduduk Mekah, khususnya binatang ternakan. Antara harta rompakannya termasuklah 100 ekor unta milik Abdul Muttalib pemimpin kaum Quraisy di kota Mekah ketika itu. Unta-unta itu bukanlah milik Abdul Muttalib secara peribadi ianya milik Ka'abah. Pada masa-masa yang sesuai unta-unta itu diperah susunya atau di sembelih untuk diberi pada fakir miskin dan musafir yang kelaparan.
Keadaan itu membuatkan Abdul Muttalib berasa sedih, kerana untuk beliau merampas kembali unta-untanya yang telah dirampas itu adalah mustahil dengan kekuatan tentera Abrahah yang mampu meranapkan seluruh kota mekah itu, pasti dia tewas jika dia ingin menggunakan kekerasan.
Ketika Abdul Muttalib pening memikirkan masalah yang dihadapinya, datang seorang juru runding dari pihak Abrahah, iaitu Hinathah al-Himyari. Tetapi perundingan dengan wakil Abrahah itu tidak dapat menyelesaikan masalah yang kusut itu. Maka berangkatlah Abdul Muttalib ke khemah Abrahah untuk berunding dengan Abrahah bin Asram sendiri.
Setibanya Abdul Muttalib didepan Abrahah maka berlansunglah sesi dialog seperti berikut;
Abrahah: "Apakah tujuan Tuan datang ke sini wahai Abdul Muttalib?"
Abdul Muttalib: "Tujuan saya datang kesini hanya untuk meminta tuan bebaskan 100 ekor unta yang telah di rampas oleh tentera-tentera tuan."
Abrahah menjadi hairan kerana Abdul Muttalib lansung tidak menyebut tentang Ka'abah yang bakal dirobohkan itu. Terdetik rasa gembira di hati Abrahah.
Abrahah: "Apakah Tuan hanya mahu bicara tentang unta-unta tuan itu dan mengenepikan hal Ka'abah yang bakal dirobohkan sebentar lagi?"
Abdul Muttalib: "ini kerana unta-unta itu adalah milik ku, sedangkan Ka'abah itu ada pemiliknya yang akan melindunginya."
Abrahah menjawab dengan sombong : "Tidak ada sesiapa pun yang dapat melindunginya dari seranganku."
Abdul Muttalib: "jika demikian kerjakanlah ia sekehendak mu."
Dalam sesi dialog tadi dapat lah kita rumuskan bahawa Abdul Muttalib amat yakin bahawa tiada satu apa pun yang dapat mengganggu Ka'abah, kerana ianya dilindungi Allah swt. Kemudianya Abrahah mengantar utusannya yang tadi iaitu Hinathah al-Himyari untuk mengosongkan kota Mekah buat sementara waktu supaya dia boleh menjalankan kerja-kerja merobohkan Ka'abah dengan terhormat dan aman.Kerana tidak mahu melawan Abdul Muttalib dan penduduk kota Mekah yang lain keluar sementara proses meruntuhkan Ka'abah itu selesai.