Wednesday, December 21, 2011

0032 Peristiwa ketika Nabi Di Kota Busra

Setelah beberapa lama berjalan, mengharungi padang pasir dan panas terik, maka rombongan niaga dari Mekah itu bersetuju untuk berehat di sebuah kota yang tak jauh di laluan mereka. Menjadi kebiasaan para pedagang mempunyai tempat-tempat berehat di sepanjang perjalanan untuk berdagang. Kota Busra yang terletak dalam wilayah Huran (Ibu kota Arab Utara) yang mana ketika itu berada dibawah jajahan Rom Timur (Byzentain), adalah salah satu kota yang menjadi tempat persinggahan para pedagang.


Ketika Abu Talib dan Nabi serta ahli rombongan lain sedang berehat di satu kawasan lapang, yang berhadapan dengan sebuah gereja, datang seorang Rahib Nasrani lalu menyapa ahli rombongan pedagang dengan mesra. Rahib yang digelar Buhaira (lautan ilmu) itu mempelawa Abu Talib dan semua ahli rombongan untuk menjamu hidangan yang dia sediakan. Kelakuan pelik Rahib itu turut mendapat perhatian beberapa ahli rombongan yang berasa hairan, kerana selama ini tidak pernah Rahib ini berbuat demikian. Lalu salah seorang dari mereka bertanya pada Rahib.


                   "Tuan Rahib, jika tak salah kami, Tuan rahib tidak pernah menjamu kami sebelum ini, apakah yang menyebabkan Tuan berbuat demikian kali ini?"


Kemudian Rahib itu menjawab;


                    "Benar kata tuan-tuan, tapi tuan-tuan adalah tetamu saya, jadi saya ada sediakan sedikit jamuan untuk tetamu saya, besar kecil, yang merdeka mahupun yang hamba."


Sebahagian binaan gereja Rahib Buhaira di Syam




mengikut beberapa riwayat, (ibnu Hisyam)


Rahib Buhaira sangat teruja dengan kedatangan rombongan peniaga kali ini kerana, dia terpandang ada segumpal awan nipis yang begerak melindungi salah seorang ahli rombongan peniaga dari Mekah yang menghampiri gerejanya. Tapi dia tak dapat pastikan siapakah orang yang dipayungi awan itu. Dalam pengetahuannya dari kitab-kitab dahulu terutamanya Taurat dan Injil, orang yang selalu diteduhi awan nipis ketika berjalan ialah Nabi akhir zaman yang akan di utus.


Peristiwa seterusnya ketika dia memerhatikan rombongan itu ketika berehat di depan gerejanya, ketika seorang kanak-kanak duduk dibawah pokok berhampiran kawasan lapang itu, tiba-tiba daun-daun dan ranting-ranting pokok itu secara lembut menutupi kepala kanak-kanak itu dari terkena sinaran matahari. Mengikut kandungan kitab-kitab terdahulu, Pokok tempat nabi bersandar itu di tanam oleh Nabi Ibrahim as, dan Nabi Musa as pernah berteduh dibawahnya ketika hendak ke Madyan selepas lari dari Fir'aun, selanjutnya menurut kitab injil dan Taurat lagi, hanya Nabi sahaja yang akan nampak pokok itu, dan berteduh di bawahnya, selain dari mereka orang yang bukan Nabi tidak akan nampak pokok itu. 


Setelah dipujuk-pujuk maka para pedagang pun masuk kedalam gereja untuk menjamu hidangan, sehingga mereka terlupa tentang anak saudara Abu Talib itu, lalu ditinggalkan di luar. kemudian Rahib Buhaira bertanya;


                           "Hanya inikah ahli rombongan yang ada? kalau boleh semua sekali hadir dalam jamuan ini, jangan di tinggalkan seorang pun."


                           "Tidak-tidak masih ada lagi seorang kanak-kanak kecil di luar." jawab seorang ahli rombongan


                           "jangan begitu, bawalah dia masuk sekali, supaya dia dapat menikmati jamuan ini bersama tuan-tuan."  Berkata Rahib Buhaira supaya dia berpeluang mengenali anak yatim itu.


Ketika rombongan asyik makan, Rahib tak henti-henti memerhatikan tingkah laku Nabi yang makan bersebelahan dengan Abu Talib. Setelah rombongan selesai makan, Rahib terus mendekati Nabi dan bertanya;


                            "Wahai anak kecil, dengan nama al-Lata dan al-Uzza, bolehkah anak menjawab beberapa soalan saya?"


Jawab Nabi           
                            "Janganlah tuan tanya saya dengan nama al-Latta dan al-Uzza, kerana tidak ada yang saya benci melebihi dari keduanya."


Nabi saw sejak kecil telah menunjukkan sikapnya yang benci pada perkara-perkara khurafat dan syirik. serta perkara lain seperti arak dan benda yang melalaikan.


Tersentak dengan kenyataan itu, Rahib Buhaira terus mengubah soalannya.


                           "Dengan nama Allah, mahukah anak beritahu saya apa-apa yang saya tanyakan?"


                           "Silakan, apa yang terasa di hati tuan"


Dialog terus adalah soalan Rahib mengenai waktu tidur dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan kegiatan harian Nabi. sehinggalah Rahib meminta Nabi menunjukkan belakang Baginda. Maka tersentak dengan tanda kenabian di belakang Nabi, rupanya seperti kena bekam dikelilingi bulu-bulu halus, dan saiznya sebesar telur burung merpati.


Lalu Rahib Buhaira terus mendapatkan Abu Talib lalu bertanya;


                           "Anak siapakah ini?"


                           "Anak saya." kata Abu Talib berbohong


Rahib Buhaira telah terbaca tentang keadaan Nabi akhir zaman, iaitu tidak dipelihara oleh ibu ataupun bapanya, dalam erti kata lain Nabi akhir zaman adalah anak yatim. dan dari pengetahuannya itu dia tahu yang Abu Talib telah berbohong padanya.


                           "beritahulah perkara sebenar kepadaku Abu Talib, mengikut perkiraan ku budak itu tidak mempunyai ibu dan ayah lagi, bukankah begitu?"


                           "Bagaimanakah tuan tahu semua ini?" tanya Abu Talib


                           "Wahai Abu Talib bawa pulang segera anak ini dan janganlah diperlihatkan kepada seorang yahudi pun, kerana jika tuan berbuat demikian maka nescaya mereka akan membunuhnya."


Buhaira juga berpesan tentang rancangan jahat Yahudi, kerana sejak azali Allah telah tentukan Nabi terakhir berasal dari bangsa Arab, tetapi pada masa yang sama Yahudi inginkan Nabi dari kalangan mereka iaitu bani Israel. Disebabkan hal itu mereka akan berusaha untuk membunuh Muhammad saw.


Mendengar nasihat Rahib Buhaira itu Abu Talib terus membawa Nabi pulang ke Mekah, dan melupakan hasratnya untuk ke Syam mencari rezki.


Mengikut riwayat, Rahib Buhaira mati dibunuh yahudi.

Tuesday, October 11, 2011

0031 Nabi saw Di Bawa berniaga ke Syam

Seperti kebiasaan orang-orang dari kaum Quraisy, mencari rezki mereka dengan berniaga, begitu jugalah perihalnya dengan Abu Talib. Dia telah mula meniaga sejak dari muda lagi, yang mana kebolehan berniaga itu telah di warisi turun temurun dari datuk nenek nya lagi. Kali ini setelah lama dia tidak keluar berniaga terpanggil pula untuk dia berniaga di negeri Syam. 


Hari itu dia membuat keputusan untuk bertolak ke negeri Syam mengikut rombongan peniaga yang lain. Seperti kebiasaan dia akan bersiap-siap denga kelengkapan untuk makan dan minum sepanjang jalan untuk seorang. Tapi kali ini, ade teman yang ingin ikut bersama-sama ke sana. iaitu Muhammad saw yang ketika itu berusia dalam linkungan 12 tahun. Mengikut Riwayat Ibnu Hisyam, Abu Talib sudah pun sedia untuk bertolak ke Syam mengikut rombongan yang seramai 200 orang. dan tiba-tiba datang anak saudaranya itu menarik2 pakaiannya meminta dan merayu supaya kali ini dibawanya bersama. Disebabkan rayuan Nabi yang tidak henti-henti itu maka Abu Talib pun membawa Nabi ikut bersama. 


Jarak antara Mekah dan negeri Syam adalah lebih kurang 900km, dan mengambil masa sebulan untuk sampai ke sana jika dengan menaiki unta. Dengan penambahan kesusahan dan perit mengharungi perjalanan yang amat memenatkan. Mengikut riwayat para pedagang akan berhenti beberapa kali untuk mengisi air merehatkan badan dan bermalam untuk mengembalikan tenaga supaya dapat meneruskan perjalanan pada keesokan harinya. Jauhnya perjalanan itu macam Dari johor ke Perlis dengan menaiki unta bayangkan. 


Disebabkan kecekalan Nabi untuk membantu bapa saudaranya itu untuk mencari rezki, Abu Talib merasakan perjalanan perniagaannya ke Syam kali ini sangat bermakna. Dan lagi sebelum ini diceritakan bahawa keadaan perhubungan Nabi dengan bapa saudaranya itu sangat rapat hingga Nabi tidak sanggup berenggang dengan Abu Talib. Disebabkan itu jugalah kali ini Nabi mengikut bapa saudaranya ke Syam.


Kota Damsyik adalah antara kota yang tertua di dunia

Peta Syria dan Damsyik (Damascus)


Info: Syam sekarang dikenali sebagai Damsyik di Syria 

Wednesday, August 10, 2011

0030 Tinggal Bersama Bapa Saudaranya Abu Talib

Setelah kewafatan Abdul Muttalib Nabi saw telah diambil oleh bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Sebelum kewafatan datuknya Abdul Muttalib, Abu Talib ada menerima amanah dari Abdul Muttalib, iaitu mengambil Nabi saw sebagai anak peliharaannya. Perkara itu telah di beritahu kepadanya kerana dia adalah saudara seibu sebapa dengan bapa Nabi saw iaitu Abdullah, jadi mereka lebih rapat. Setelah meninggal Abdul Muttalib bermula lah penghidupan baru Nabi bersama penjaga barunya iaitu Abu Talib.


Disebabkan Nabi saw adalah kanak-kanak yang sangat baik dan baik budi pekertinya maka tidak hairanlah jika sesiapa yang mendapat tanggungjawab untuk menjaga Nabi saw menerima dengan senang hati. Bagitu juga halnya dengan Abu Talib, dia meletakkan Nabi sebagai insan yang sangat istimewa dihatinya, dia melayani Nabi saw tidak seperti dia melayani anak-anaknya sendiri. Dia selalu membawa Nabi kemana-mana sahaja dia pergi. Jarang dia meninggalkan Nabi di rumah seorang diri.


Oleh kerana kasing sayang yang ditunjukkan oleh bapa saudaranya tidak berbelah bagi, Nabi saw yang memahami keadaan itu berusaha untuk membalas jasa baik dan kasih sayang Abu Talib dengan mengambil upah menjaga kambing orang-oarang kaya Mekah. Nabi diberi upah untuk kerjanya itu dan upahnya itu sedikit sebanyak dapat membantu ekonomi keluarga Abu Talib yang ketika itu mempunyai jumlah ahli keluarga yang besar.


Mengikut riwayat upah yang di bayar kepada Nabi saw adalah dalam bentuk 'kararit' Jika diikutkan dari sumber sejarah ia bermaksud wang emas atau dari satu riwayat lagi ia adalah kurma Hindi. Upah atau Kararit ini dibayar sebaik saja selesai Nabi saw menjaga kambing iaitu setiap petang atau senja Nabi akan dibayar untuk kerja yang dilakukan hari itu.



Thursday, July 7, 2011

0029 Tinggal bersama Datuknya

Setelah kembali dari menziarahi makam ayahnya dan juga setelah peristiwa sedih yang berlaku kepada diri Nabi saw iaitu kehilangan Ibunya yang tercinta, Nabi saw telah dibawa dan dipelihara oleh datuknya iaitu Abdul Muttalib. Walaupun ketika itu umur Abdul Muttalib mencecah 78 tahun, dia tidak pernah terasa terbeban dengan memelihara Nabi saw. Bahkan dia sangat kasih dan sayang pada cucunya itu seperti dia sayangkan anak-anaknya yang lain. Maka tinggallah Nabi bersama datuknya dan juga bapa-bapa saudaranya dan juga ibu-ibu saudaranya dalam keadaan yang baik. ketika itu juga Abdul Muttalib mempunyai anak yang lebih kurang sebaya dengan Nabi saw iaitu Hamzah dan al-Abbas. Nabi tidak terasa terlalu terasing kerana mempunyai rakan sebaya untuk bermain-main. walaupun mereka itu sebenarnya adalah pangkat bapa saudaranya.


Abdul Muttalib sangat sayang kan Rasulullah saw, sehingga jika dia memanggil Nabi, dia memanggil "anakku" dan bukannya "cucuku".


pernah diriwayatkan dalam satu kisah dimana menunjukkan layanan datuk Nabi saw terhadapnya sangat istimewa. Dalam seminggu atau sebulan sekali, Abdul Muttalib akan duduk disisi Baitillah untuk memberi nasihat sambil dikelilingi oleh 10 orang anaknya lelakinya. Disitu disediakan hamparan yang istimewa untuk Abdul Muttalib dan kemudian di sediakan juga hamparan-hamparan untuk anak-anak lelakinya yang 10 orang itu. Dan anak-anaknya tidak pernah duduk di atas hamparan yang disediakan untuk Abdul Muttalib. 


Pada suatu hari, Nabi masuk ke Masjidil Haram dan terus ke tempat duduk atau hamparan yang di khaskan untuk datuknya, disebabkan hamparan yang lain telah pun dipenuhi oleh bapa-bapa saudaranya yang lain.
Nabi terus saja duduk di atas hamparan itu, dengan segera bapa-bapa saudaranya menegah perbuatan Nabi itu.
Tapi dengan cepat Abdul Muttalib berkata pada anak-anaknya yang menegah perbuatan cucunya itu...


"Biarlah anakku ini, dia suka kepada kebesaran..."


Abdul Muttalib sangat sayang pada Nabi hingga terubat sedikit sebanyak penderitaan Nabi atas kehilangan Ayah dan ibunya. Dia telah di pelihara oleh datuknya untuk tempoh 2 tahun iaitu dari umur 6 hingga 8 tahun.


Setelah Nabi merasai kasih sayang Datuknya seperti tiada bandingnya itu. tiba-tiba meninggal lah pula Abdul Muttalib. Betapa sedihnya Nabi saw mengenangkan nasibnya yang tak sudah-sudah di timpa derita. Kesedihannya terhadap pemergian datuknya lebih pedih jika di bandingkan dengan kematian Ayahnya.


Abdul Muttalib sempat mewasiatkan supaya cucunya itu dipelihara oleh Abu Talib saudara seibu dan sebapa dengan Abdullah ayah Nabi saw.

Friday, June 17, 2011

0028 Kesedihan Nabi saw

Ketika Nabi berumur dalam lingkungan 6 tahun, iaitu 2 tahun selepas Halimatus Sa'adiah menghantar Nabi ke pangkuan ibunya. Terdetik dalam hati Nabi untuk bertanya ibunya tentang satu persoalan besar. Keinginan yang kuat hasil dari permerhatian Nabi terhadap keluarga kanak-kanak lain. Dimanakah ayahnya?
Aminah binti Wahab memang sudah tahu soalan ini akan muncul dari anak tunggalnya itu. kerana dia tahu akan kecerdikan dan kepintaran Nabi, Aminah menceritakan perkara sebenar kepada Nabi. Berita ketiadaan ayahanda Nabi, yang telah kembali kepada Penciptanya menjadi satu berita yang sangat sedih kepada Nabi sekali gus membuatkan Nabi rindu kepada Allayarham ayahnya. 


Dengan terbitnya permintaan dari anak tunggalnya untuk menziarahi kubur ayahnya, Aminah terus bersetuju kerana dia juga sangat rindu pada suaminya yang telah tiada itu. Aminah hanya menunggu saat yang sesuai untuk pergi menziarahi kubur suaminya. Setelah bersiap-siap untuk mengharungi perjalanan yang jauh. Mereka bertiga (Aminah, Nabi saw, dan Ummu Aiman)  pun berangkat ke Yathrib. Setelah 15 hari dan 15 malam perjalanan, mereka pun sampai ke Yathrib. 


Setelah berehat beberapa hari di rumah sanak saudara Aminah di perkampungan Bani an-Najjar, Aminah membawa anaknya ke makam suaminya, kerana kesedihan melanda jiwa Nabi ketika itu, Nabi menangis di atas pusara ayahnya walaupun dia tidak pernah melihat wajah ayahnya.


Setelah terubat rasa rindu terhadap Abdullah suami kepada Aminah binti Wahab dan ayah kepada Nabi saw, iaitu kira-kira 1 bulan mereka tinggal di Yathrib, maka mereka bertiga pun berangkat kembali ke Mekah.


Setelah sehari semalam berjalan, mereka pun berhenti berehat di Abwa, iaitu satu perkampungan di antara Mekah dan Yathrib, dan 23 batu dari Juhfah. Ketika di Abwa lah Aminah tiba-tiba sakit. Semakin hari semakin tenat. Setelah beberapa hari, maka meninggal lah Aminah. Disebabkan perjalanan ke Mekah masih jauh, maka Aminah dikebumikan di situ juga. Maka bersedih lah kembali Nabi saw. Dugaan datang dengan bertindih-tindih, untuk mendidik jiwa Nabi. Setelah selesai pengkebumian Aminah, Nabi dan Ummu Aiman pun balik ke Mekah bersama-sama rombongan yang kebetulan lalu hendak ke Mekah. Sepanjang perjalanan Nabi menangis kerana pemergian ibunya yang tercinta itu. Nabi hanya sempat bergaul mesra dengan ibunya selama 2 tahun selepas di pelihara oleh Halimatus Sa'adiah. Bayangkanlah kanak-kanak berusia 6 tahun telah kehilangan 2 orang yang disayangi. dan terpaksa mengharungi kehidupan sebagai anak yatim. Kerana itu lah Nabi saw berpesan tentang keistimewaan anak yatim dalam Islam. Walaupun dengan mengusap rambut anak yatim, Allah swt memberi ganjaran untuk perkara yang kita anggp remeh itu.


Makam Aminah binti Wahab di al-Abwa

Monday, June 13, 2011

0027 Kembali ke Pangkuan Ibu

Setelah peristiwa yang mengejutkan keluarga Halimatus Sa'adiah terjadi, iaitu Nabi di tangkap dan dibelah dadanya oleh 2 orang yang tidak dikenali. Maka menjadi satu ketakutan pada Halimatus Sa'adiah untuk terus memelihara Nabi, di sebabkan itu dia dan suaminya Abu Kabsyah, membuat keputusan untuk menghantar kembali Nabi ke pangkuan Ibu kandungnya, Aminah.

Setelah perpisahan kali kedua, Siti Aminah untuk kali kedua memeluk anak tunggalnya dengan penuh erat. Perpisahan selama 4 tahun 2 bulan cukup membuatkanya sangat rindu pada anaknya yang comel itu. Wajahnya berseri-seri ketika menyambut Nabi dari tangan ibu susu yang diupahnya itu.

Halimatus Sa'adiah dan Abu Kabsyah pulang dengan perasaan sebak dan terharu. Kalau diizinkan Aminah mereka sanggup membela Nabi sampai bila-bila. Tetapi tujuan mereka memelihara Nabi adalah untuk mendapat upah, tidak lebih dari itu walaupun mereka sudah merasa ada ikatan yang kuat antara mereka dan Nabi.

Setelah itu, hiduplah Nabi dengan ibunya dalam keadaan serba kekurangan. Mereka juga ditemani dan di bantu oleh hamba Abdullah, Ummu Aiman. Dia terus menerus tinggal dengan Nabi dan Aminah sebagai pembantu yang sangat setia dan mulia pekertinya. Menyentuh tentang kehidupan Nabi ketika di bawah jagaan Ibunya, Aminah, mereka sering kekurangan makanan, dan barang keperluan harian, tetapi sudah menjadi kebiasaan kepada Nabi, jika makan Dia tidak akan makan hingga kenyang sebab Baginda tahu tentang keupayaan ibunya untuk mencari rezeki. Nabi  berpakaian dengan sekadar yang ada, Dia tidak meminta yang lebih, tidak pula merungut. Ketika umurnya 4-5 tahun pun Baginda sudah matang. Nabi sudah memahami erti kehidupan dan kesusahan hidup.

Tetapi mereka bernasib baik kerana ramai saudara-saudara Abdullah yang membantu Aminah. mereka sedar tentang keadaan adik ipar mereka yang serba kekurangan itu, setelah pemergian ketua rumah sebagai tempat bergantung sudah tentu hidup akan menjadi susah.


Thursday, June 9, 2011

0026 Peristiwa Dada Nabi saw Dibelah

Telah diriwayatkan oleh  Ibnu HishamIbnu Ishaq dan Ibnu Sa`d ketika Nabi berusia antara 2 hingga 4 tahun telah berlaku satu peristiwa yang menakutkan untuk keluarga Halimatus Sa'adiah. Perkara yang dianggap luar biasa bagi orang-orang seperti kita, iaitu tentang pembelahan dada Nabi. Peristiwa itu membuatkan Halimatus takut untuk memelihara Nabi dengan lebih lama.


Peristiwa berlaku ketika Nabi dan anak-anak Halimatus Sa'adiah sedang melihat anak-anak kambing Abu Kabsyah (suami Halimatus Sa'adiah) yang baru dilahirkan. Sedang mereka leka dengan perkara itu, tiba-tiba muncul 2 orang lelaki yang sangat elok rupa parasnya, berpakaian serba putih, dan terus mereka datang mengambil Nabi dan membawanya ke satu tempat berdekatan. Kedua-dua lelaki itu kemudian menidurkan Nabi kemudian membuka baju Nabi dan membelah dada Nabi. Tidak diketahui samada dada Nabi itu dibelah dengan tangan atau menggunakan alat pembedahan.


Perkara ini telah diceritaka kepada Halimatus Sa'adiah oleh salah seorang anaknya, yang berlari-lari mendapatkan ibu mereka


"Ibuuuu! ibuuu, Muhammad dibunuh, Muhammad dibunuh...!'


Mendengar jeritan anaknya itu Halimatus menjadi keras seperti batu kerana tergejut yang amat sangat. kemudian anaknya menyambung...


"Saudara saya orang Quraisy itu telah ditangkap oleh dua orang lelaki berpakaian putih. Setelah ia terlebih dahulu ditidurkan miring, lalu dibelah perutnya, yang membelahnya ialah kedua-dua orang yang menangkapnya itu. Kedua-duanya kelihatan menggerakkan badannya."


mendengar berita itu Halimatus Sa'adiah bergegas pergi mendapatkan Nabi di tempat yang diceritakan oleh anaknya tadi. Didapati Nabi berdiri dan kelihatan muka Nabi sangat pucat.


"Mengapakah engkau wahai anakku?" tanya Halimatus Sa'adiah


Nabi menjawab "Telah datang dua orang lelaki yang berbaju putih kepada Saya, kemudian menidurkan Saya, lalu membelah perut saya, kemudian keduanya mencari sesuatu dalam perut Saya, Saya tidak tahu apa yang di cari oleh kedua-dua lelaki tersebut."


Seterusnya Halimatus Sa'adiah terus membawa Nabi balik kerumah kerana bimbang perkara itu terjadi lagi.
Oleh kerana kebimbangan itu, Abu Kabsyah berkata kepada isterinya;


"Halimah! saya takut anak ini terkena apa-apa. Bawalah dia kembali kepada keluarganya sebelum terjadi apa-apa yang aku bimbangkan itu."


Selepas peristiwa itu, Abu Kabsyah tidak lagi membernarkan anak-anaknya dan Nabi bermain di kawasan yang difikirkan bahaya. Dia juga berpesan agar anak-anaknya menjaga Nabi dengan bersungguh-sungguh agar perkara yang sama tidak berulang lagi. Dikhuatiri jika ada orang yang berniat jahat terhadap Nabi. 


Diriwayatkan oleh Anas ra bahawa pembelahan itu dilakukan oleh Malaikat Jibrail as, dia membelah dan mengeluarkan hati Baginda dan membasuhnya dengan air zam-zam yang diisi didalam bekas yang diperbuat dari emas. Sambil Jibrail berkata " Dibahagian ini lah tempat Syaitan bersarang."


Didalam Fiqh Al-Sirah karangan Muhammad Sa`id Ramadan Al-Buti ada menyebut bahawa pembedahan tersebut adalah untuk membersihkan hati Baginda dari segi fizikal hati tersebut dan juga rohani, ia juga sebagai cara Allah swt mempersiapkan Baginda untuk menerima Wahyu kelak juga sebagai insan yang mak'sum.