Saturday, June 4, 2011

0024 Kegembiraan Abu Lahab

Bapa saudara Nabi iaitu Abdul Uzza atau lebih dikenali dengan gelaran Abu Lahab, adalah antara orang yang paling gembira dengan kelahiran Baginda Nabi. Setelah berita tentang adik iparnya iaitu Aminah melahirkan bayi yang sangat comel dan sihat, dia lah orang yang terserlah kegembiraannya. Disebabkan hal itu dia telah memerdekakan hambanya iaitu Thuwaibah al-Aslamiyyah, wanita dari bani Aslam. Abdul Uzza lah yang menyuruh Thuwaibah untuk menyusukan Nabi sementara mendapat penyusu upahan. Disebabkan Thuwaibah berhutang dengan Abu Lahab dengan banyak sekali, dia telah menjadi hamba kepada Abu Lahab kembali.


Kerana gembiranya Abu Lahab, dia telah mengadakan majlis Aqiqah pada hari ke tujuh dari hari kelahiran Nabi, dengan menyembelih beberapa ekor unta. Inilah Majlis Maulidur Rasul yang pertama diadakan dalam sejarah Rasulullah saw.


Sedikit Kisah Abu lahab setelah kerasulan Nabi.
Setelah Nabi berkahwin dengan Siti Khadijah binti Khuwailid, Abu Lahab telah menjodohkan anak-anak lelakinya dengan puteri-puteri Nabi. Iaitu anak sulungnya Utbah dengan Ruqaiyyah, dan anak keduanya Utaibah dengan Ummu Kalthum. Ini kerana dia sangat senang dengan Muhammad. Dan anak-anaknya itu pun sangat mencintai anak-anak Rasulullah, yang cantik dan bijak seperti ayah mereka. Tetapi kebahagiaan itu hanya sementara apabila Muhammad diangkat oleh Allah menjadi Rasul, Abu Lahab telah menjadi penentangnya yang utama. Beliau menyuruh kedua-dua anak lelakinya menceraikan isteri masing-masing. Maka kdeua-duanya menceraikan isteri masing-masing. Utbah merasa sangat berat untuk menceraikan isterinya Ruqaiyyah, kerana dia sangat menyayangi isterinya itu, tambahan pula puteri Nabi itu sangat cantik orangnya, dan pandai pula mengambil hati. Lain pula halnya dengan Utaibah, dia dengan senang hati menceraikan isterinya Ummu Kalthum, kerana hatinya juga keras seperti hati ayahnya.


Selepas peristiwa itu, Utaibah menghantar puteri nabi iaitu bekas isterinya Ummu Kalthum ke rumah Nabi. Dia juga mengambil kesempatan menendang pinggang Nabi hingga Nabi jatuh. Menyebabkan Nabi tidak dapat menahan marahnya lagi hingga Baginda menyumpah Utaibah.


"Wahai Utaibah! Nanti kamu akan dibaham oleh salah seekor daripada singa-singa Allah."


Ketika Abu Lahab dan anaknya Utaibah dalam perjalanan ke tempat perniagaan (boleh jadi ke Syam atau Yaman) mereka telah berhenti berehat dan tidur disatu tempat. Disebabkan mereka risau akan sumpah Nabi terhadap Utaibah itu, maka Abu Lahab menyuruh anaknya tidur di tengah-tengah rombongan peniaga. Tetapi singa datang di waktu semua ahli rombongan telah tidur, dan menerkam ke tengah lalu mematahkan leher Utaibah lalu matilah dia di situ juga. Kehilangan anaknya Utaibah itu membuatkan Abu Lahab merasa sedih dan menyemarakkan api kebencian terhadap Muhammad saw.


Dialah antara orang yang namanya diabadikan dalam al-Quran, sebagai orang yang sangat celaka. Kisahnya disebutkan dalam surah al-Lahab, sebagai orang yang dilaknat Allah swt hingga hari Kiamat.





Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  1. Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.
  2. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan.
  3. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.
  4. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.
  5. Yang di lehernya ada tali dari sabut.

No comments:

Post a Comment