Wednesday, December 21, 2011

0032 Peristiwa ketika Nabi Di Kota Busra

Setelah beberapa lama berjalan, mengharungi padang pasir dan panas terik, maka rombongan niaga dari Mekah itu bersetuju untuk berehat di sebuah kota yang tak jauh di laluan mereka. Menjadi kebiasaan para pedagang mempunyai tempat-tempat berehat di sepanjang perjalanan untuk berdagang. Kota Busra yang terletak dalam wilayah Huran (Ibu kota Arab Utara) yang mana ketika itu berada dibawah jajahan Rom Timur (Byzentain), adalah salah satu kota yang menjadi tempat persinggahan para pedagang.


Ketika Abu Talib dan Nabi serta ahli rombongan lain sedang berehat di satu kawasan lapang, yang berhadapan dengan sebuah gereja, datang seorang Rahib Nasrani lalu menyapa ahli rombongan pedagang dengan mesra. Rahib yang digelar Buhaira (lautan ilmu) itu mempelawa Abu Talib dan semua ahli rombongan untuk menjamu hidangan yang dia sediakan. Kelakuan pelik Rahib itu turut mendapat perhatian beberapa ahli rombongan yang berasa hairan, kerana selama ini tidak pernah Rahib ini berbuat demikian. Lalu salah seorang dari mereka bertanya pada Rahib.


                   "Tuan Rahib, jika tak salah kami, Tuan rahib tidak pernah menjamu kami sebelum ini, apakah yang menyebabkan Tuan berbuat demikian kali ini?"


Kemudian Rahib itu menjawab;


                    "Benar kata tuan-tuan, tapi tuan-tuan adalah tetamu saya, jadi saya ada sediakan sedikit jamuan untuk tetamu saya, besar kecil, yang merdeka mahupun yang hamba."


Sebahagian binaan gereja Rahib Buhaira di Syam




mengikut beberapa riwayat, (ibnu Hisyam)


Rahib Buhaira sangat teruja dengan kedatangan rombongan peniaga kali ini kerana, dia terpandang ada segumpal awan nipis yang begerak melindungi salah seorang ahli rombongan peniaga dari Mekah yang menghampiri gerejanya. Tapi dia tak dapat pastikan siapakah orang yang dipayungi awan itu. Dalam pengetahuannya dari kitab-kitab dahulu terutamanya Taurat dan Injil, orang yang selalu diteduhi awan nipis ketika berjalan ialah Nabi akhir zaman yang akan di utus.


Peristiwa seterusnya ketika dia memerhatikan rombongan itu ketika berehat di depan gerejanya, ketika seorang kanak-kanak duduk dibawah pokok berhampiran kawasan lapang itu, tiba-tiba daun-daun dan ranting-ranting pokok itu secara lembut menutupi kepala kanak-kanak itu dari terkena sinaran matahari. Mengikut kandungan kitab-kitab terdahulu, Pokok tempat nabi bersandar itu di tanam oleh Nabi Ibrahim as, dan Nabi Musa as pernah berteduh dibawahnya ketika hendak ke Madyan selepas lari dari Fir'aun, selanjutnya menurut kitab injil dan Taurat lagi, hanya Nabi sahaja yang akan nampak pokok itu, dan berteduh di bawahnya, selain dari mereka orang yang bukan Nabi tidak akan nampak pokok itu. 


Setelah dipujuk-pujuk maka para pedagang pun masuk kedalam gereja untuk menjamu hidangan, sehingga mereka terlupa tentang anak saudara Abu Talib itu, lalu ditinggalkan di luar. kemudian Rahib Buhaira bertanya;


                           "Hanya inikah ahli rombongan yang ada? kalau boleh semua sekali hadir dalam jamuan ini, jangan di tinggalkan seorang pun."


                           "Tidak-tidak masih ada lagi seorang kanak-kanak kecil di luar." jawab seorang ahli rombongan


                           "jangan begitu, bawalah dia masuk sekali, supaya dia dapat menikmati jamuan ini bersama tuan-tuan."  Berkata Rahib Buhaira supaya dia berpeluang mengenali anak yatim itu.


Ketika rombongan asyik makan, Rahib tak henti-henti memerhatikan tingkah laku Nabi yang makan bersebelahan dengan Abu Talib. Setelah rombongan selesai makan, Rahib terus mendekati Nabi dan bertanya;


                            "Wahai anak kecil, dengan nama al-Lata dan al-Uzza, bolehkah anak menjawab beberapa soalan saya?"


Jawab Nabi           
                            "Janganlah tuan tanya saya dengan nama al-Latta dan al-Uzza, kerana tidak ada yang saya benci melebihi dari keduanya."


Nabi saw sejak kecil telah menunjukkan sikapnya yang benci pada perkara-perkara khurafat dan syirik. serta perkara lain seperti arak dan benda yang melalaikan.


Tersentak dengan kenyataan itu, Rahib Buhaira terus mengubah soalannya.


                           "Dengan nama Allah, mahukah anak beritahu saya apa-apa yang saya tanyakan?"


                           "Silakan, apa yang terasa di hati tuan"


Dialog terus adalah soalan Rahib mengenai waktu tidur dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan kegiatan harian Nabi. sehinggalah Rahib meminta Nabi menunjukkan belakang Baginda. Maka tersentak dengan tanda kenabian di belakang Nabi, rupanya seperti kena bekam dikelilingi bulu-bulu halus, dan saiznya sebesar telur burung merpati.


Lalu Rahib Buhaira terus mendapatkan Abu Talib lalu bertanya;


                           "Anak siapakah ini?"


                           "Anak saya." kata Abu Talib berbohong


Rahib Buhaira telah terbaca tentang keadaan Nabi akhir zaman, iaitu tidak dipelihara oleh ibu ataupun bapanya, dalam erti kata lain Nabi akhir zaman adalah anak yatim. dan dari pengetahuannya itu dia tahu yang Abu Talib telah berbohong padanya.


                           "beritahulah perkara sebenar kepadaku Abu Talib, mengikut perkiraan ku budak itu tidak mempunyai ibu dan ayah lagi, bukankah begitu?"


                           "Bagaimanakah tuan tahu semua ini?" tanya Abu Talib


                           "Wahai Abu Talib bawa pulang segera anak ini dan janganlah diperlihatkan kepada seorang yahudi pun, kerana jika tuan berbuat demikian maka nescaya mereka akan membunuhnya."


Buhaira juga berpesan tentang rancangan jahat Yahudi, kerana sejak azali Allah telah tentukan Nabi terakhir berasal dari bangsa Arab, tetapi pada masa yang sama Yahudi inginkan Nabi dari kalangan mereka iaitu bani Israel. Disebabkan hal itu mereka akan berusaha untuk membunuh Muhammad saw.


Mendengar nasihat Rahib Buhaira itu Abu Talib terus membawa Nabi pulang ke Mekah, dan melupakan hasratnya untuk ke Syam mencari rezki.


Mengikut riwayat, Rahib Buhaira mati dibunuh yahudi.

Tuesday, October 11, 2011

0031 Nabi saw Di Bawa berniaga ke Syam

Seperti kebiasaan orang-orang dari kaum Quraisy, mencari rezki mereka dengan berniaga, begitu jugalah perihalnya dengan Abu Talib. Dia telah mula meniaga sejak dari muda lagi, yang mana kebolehan berniaga itu telah di warisi turun temurun dari datuk nenek nya lagi. Kali ini setelah lama dia tidak keluar berniaga terpanggil pula untuk dia berniaga di negeri Syam. 


Hari itu dia membuat keputusan untuk bertolak ke negeri Syam mengikut rombongan peniaga yang lain. Seperti kebiasaan dia akan bersiap-siap denga kelengkapan untuk makan dan minum sepanjang jalan untuk seorang. Tapi kali ini, ade teman yang ingin ikut bersama-sama ke sana. iaitu Muhammad saw yang ketika itu berusia dalam linkungan 12 tahun. Mengikut Riwayat Ibnu Hisyam, Abu Talib sudah pun sedia untuk bertolak ke Syam mengikut rombongan yang seramai 200 orang. dan tiba-tiba datang anak saudaranya itu menarik2 pakaiannya meminta dan merayu supaya kali ini dibawanya bersama. Disebabkan rayuan Nabi yang tidak henti-henti itu maka Abu Talib pun membawa Nabi ikut bersama. 


Jarak antara Mekah dan negeri Syam adalah lebih kurang 900km, dan mengambil masa sebulan untuk sampai ke sana jika dengan menaiki unta. Dengan penambahan kesusahan dan perit mengharungi perjalanan yang amat memenatkan. Mengikut riwayat para pedagang akan berhenti beberapa kali untuk mengisi air merehatkan badan dan bermalam untuk mengembalikan tenaga supaya dapat meneruskan perjalanan pada keesokan harinya. Jauhnya perjalanan itu macam Dari johor ke Perlis dengan menaiki unta bayangkan. 


Disebabkan kecekalan Nabi untuk membantu bapa saudaranya itu untuk mencari rezki, Abu Talib merasakan perjalanan perniagaannya ke Syam kali ini sangat bermakna. Dan lagi sebelum ini diceritakan bahawa keadaan perhubungan Nabi dengan bapa saudaranya itu sangat rapat hingga Nabi tidak sanggup berenggang dengan Abu Talib. Disebabkan itu jugalah kali ini Nabi mengikut bapa saudaranya ke Syam.


Kota Damsyik adalah antara kota yang tertua di dunia

Peta Syria dan Damsyik (Damascus)


Info: Syam sekarang dikenali sebagai Damsyik di Syria 

Wednesday, August 10, 2011

0030 Tinggal Bersama Bapa Saudaranya Abu Talib

Setelah kewafatan Abdul Muttalib Nabi saw telah diambil oleh bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Sebelum kewafatan datuknya Abdul Muttalib, Abu Talib ada menerima amanah dari Abdul Muttalib, iaitu mengambil Nabi saw sebagai anak peliharaannya. Perkara itu telah di beritahu kepadanya kerana dia adalah saudara seibu sebapa dengan bapa Nabi saw iaitu Abdullah, jadi mereka lebih rapat. Setelah meninggal Abdul Muttalib bermula lah penghidupan baru Nabi bersama penjaga barunya iaitu Abu Talib.


Disebabkan Nabi saw adalah kanak-kanak yang sangat baik dan baik budi pekertinya maka tidak hairanlah jika sesiapa yang mendapat tanggungjawab untuk menjaga Nabi saw menerima dengan senang hati. Bagitu juga halnya dengan Abu Talib, dia meletakkan Nabi sebagai insan yang sangat istimewa dihatinya, dia melayani Nabi saw tidak seperti dia melayani anak-anaknya sendiri. Dia selalu membawa Nabi kemana-mana sahaja dia pergi. Jarang dia meninggalkan Nabi di rumah seorang diri.


Oleh kerana kasing sayang yang ditunjukkan oleh bapa saudaranya tidak berbelah bagi, Nabi saw yang memahami keadaan itu berusaha untuk membalas jasa baik dan kasih sayang Abu Talib dengan mengambil upah menjaga kambing orang-oarang kaya Mekah. Nabi diberi upah untuk kerjanya itu dan upahnya itu sedikit sebanyak dapat membantu ekonomi keluarga Abu Talib yang ketika itu mempunyai jumlah ahli keluarga yang besar.


Mengikut riwayat upah yang di bayar kepada Nabi saw adalah dalam bentuk 'kararit' Jika diikutkan dari sumber sejarah ia bermaksud wang emas atau dari satu riwayat lagi ia adalah kurma Hindi. Upah atau Kararit ini dibayar sebaik saja selesai Nabi saw menjaga kambing iaitu setiap petang atau senja Nabi akan dibayar untuk kerja yang dilakukan hari itu.



Thursday, July 7, 2011

0029 Tinggal bersama Datuknya

Setelah kembali dari menziarahi makam ayahnya dan juga setelah peristiwa sedih yang berlaku kepada diri Nabi saw iaitu kehilangan Ibunya yang tercinta, Nabi saw telah dibawa dan dipelihara oleh datuknya iaitu Abdul Muttalib. Walaupun ketika itu umur Abdul Muttalib mencecah 78 tahun, dia tidak pernah terasa terbeban dengan memelihara Nabi saw. Bahkan dia sangat kasih dan sayang pada cucunya itu seperti dia sayangkan anak-anaknya yang lain. Maka tinggallah Nabi bersama datuknya dan juga bapa-bapa saudaranya dan juga ibu-ibu saudaranya dalam keadaan yang baik. ketika itu juga Abdul Muttalib mempunyai anak yang lebih kurang sebaya dengan Nabi saw iaitu Hamzah dan al-Abbas. Nabi tidak terasa terlalu terasing kerana mempunyai rakan sebaya untuk bermain-main. walaupun mereka itu sebenarnya adalah pangkat bapa saudaranya.


Abdul Muttalib sangat sayang kan Rasulullah saw, sehingga jika dia memanggil Nabi, dia memanggil "anakku" dan bukannya "cucuku".


pernah diriwayatkan dalam satu kisah dimana menunjukkan layanan datuk Nabi saw terhadapnya sangat istimewa. Dalam seminggu atau sebulan sekali, Abdul Muttalib akan duduk disisi Baitillah untuk memberi nasihat sambil dikelilingi oleh 10 orang anaknya lelakinya. Disitu disediakan hamparan yang istimewa untuk Abdul Muttalib dan kemudian di sediakan juga hamparan-hamparan untuk anak-anak lelakinya yang 10 orang itu. Dan anak-anaknya tidak pernah duduk di atas hamparan yang disediakan untuk Abdul Muttalib. 


Pada suatu hari, Nabi masuk ke Masjidil Haram dan terus ke tempat duduk atau hamparan yang di khaskan untuk datuknya, disebabkan hamparan yang lain telah pun dipenuhi oleh bapa-bapa saudaranya yang lain.
Nabi terus saja duduk di atas hamparan itu, dengan segera bapa-bapa saudaranya menegah perbuatan Nabi itu.
Tapi dengan cepat Abdul Muttalib berkata pada anak-anaknya yang menegah perbuatan cucunya itu...


"Biarlah anakku ini, dia suka kepada kebesaran..."


Abdul Muttalib sangat sayang pada Nabi hingga terubat sedikit sebanyak penderitaan Nabi atas kehilangan Ayah dan ibunya. Dia telah di pelihara oleh datuknya untuk tempoh 2 tahun iaitu dari umur 6 hingga 8 tahun.


Setelah Nabi merasai kasih sayang Datuknya seperti tiada bandingnya itu. tiba-tiba meninggal lah pula Abdul Muttalib. Betapa sedihnya Nabi saw mengenangkan nasibnya yang tak sudah-sudah di timpa derita. Kesedihannya terhadap pemergian datuknya lebih pedih jika di bandingkan dengan kematian Ayahnya.


Abdul Muttalib sempat mewasiatkan supaya cucunya itu dipelihara oleh Abu Talib saudara seibu dan sebapa dengan Abdullah ayah Nabi saw.

Friday, June 17, 2011

0028 Kesedihan Nabi saw

Ketika Nabi berumur dalam lingkungan 6 tahun, iaitu 2 tahun selepas Halimatus Sa'adiah menghantar Nabi ke pangkuan ibunya. Terdetik dalam hati Nabi untuk bertanya ibunya tentang satu persoalan besar. Keinginan yang kuat hasil dari permerhatian Nabi terhadap keluarga kanak-kanak lain. Dimanakah ayahnya?
Aminah binti Wahab memang sudah tahu soalan ini akan muncul dari anak tunggalnya itu. kerana dia tahu akan kecerdikan dan kepintaran Nabi, Aminah menceritakan perkara sebenar kepada Nabi. Berita ketiadaan ayahanda Nabi, yang telah kembali kepada Penciptanya menjadi satu berita yang sangat sedih kepada Nabi sekali gus membuatkan Nabi rindu kepada Allayarham ayahnya. 


Dengan terbitnya permintaan dari anak tunggalnya untuk menziarahi kubur ayahnya, Aminah terus bersetuju kerana dia juga sangat rindu pada suaminya yang telah tiada itu. Aminah hanya menunggu saat yang sesuai untuk pergi menziarahi kubur suaminya. Setelah bersiap-siap untuk mengharungi perjalanan yang jauh. Mereka bertiga (Aminah, Nabi saw, dan Ummu Aiman)  pun berangkat ke Yathrib. Setelah 15 hari dan 15 malam perjalanan, mereka pun sampai ke Yathrib. 


Setelah berehat beberapa hari di rumah sanak saudara Aminah di perkampungan Bani an-Najjar, Aminah membawa anaknya ke makam suaminya, kerana kesedihan melanda jiwa Nabi ketika itu, Nabi menangis di atas pusara ayahnya walaupun dia tidak pernah melihat wajah ayahnya.


Setelah terubat rasa rindu terhadap Abdullah suami kepada Aminah binti Wahab dan ayah kepada Nabi saw, iaitu kira-kira 1 bulan mereka tinggal di Yathrib, maka mereka bertiga pun berangkat kembali ke Mekah.


Setelah sehari semalam berjalan, mereka pun berhenti berehat di Abwa, iaitu satu perkampungan di antara Mekah dan Yathrib, dan 23 batu dari Juhfah. Ketika di Abwa lah Aminah tiba-tiba sakit. Semakin hari semakin tenat. Setelah beberapa hari, maka meninggal lah Aminah. Disebabkan perjalanan ke Mekah masih jauh, maka Aminah dikebumikan di situ juga. Maka bersedih lah kembali Nabi saw. Dugaan datang dengan bertindih-tindih, untuk mendidik jiwa Nabi. Setelah selesai pengkebumian Aminah, Nabi dan Ummu Aiman pun balik ke Mekah bersama-sama rombongan yang kebetulan lalu hendak ke Mekah. Sepanjang perjalanan Nabi menangis kerana pemergian ibunya yang tercinta itu. Nabi hanya sempat bergaul mesra dengan ibunya selama 2 tahun selepas di pelihara oleh Halimatus Sa'adiah. Bayangkanlah kanak-kanak berusia 6 tahun telah kehilangan 2 orang yang disayangi. dan terpaksa mengharungi kehidupan sebagai anak yatim. Kerana itu lah Nabi saw berpesan tentang keistimewaan anak yatim dalam Islam. Walaupun dengan mengusap rambut anak yatim, Allah swt memberi ganjaran untuk perkara yang kita anggp remeh itu.


Makam Aminah binti Wahab di al-Abwa

Monday, June 13, 2011

0027 Kembali ke Pangkuan Ibu

Setelah peristiwa yang mengejutkan keluarga Halimatus Sa'adiah terjadi, iaitu Nabi di tangkap dan dibelah dadanya oleh 2 orang yang tidak dikenali. Maka menjadi satu ketakutan pada Halimatus Sa'adiah untuk terus memelihara Nabi, di sebabkan itu dia dan suaminya Abu Kabsyah, membuat keputusan untuk menghantar kembali Nabi ke pangkuan Ibu kandungnya, Aminah.

Setelah perpisahan kali kedua, Siti Aminah untuk kali kedua memeluk anak tunggalnya dengan penuh erat. Perpisahan selama 4 tahun 2 bulan cukup membuatkanya sangat rindu pada anaknya yang comel itu. Wajahnya berseri-seri ketika menyambut Nabi dari tangan ibu susu yang diupahnya itu.

Halimatus Sa'adiah dan Abu Kabsyah pulang dengan perasaan sebak dan terharu. Kalau diizinkan Aminah mereka sanggup membela Nabi sampai bila-bila. Tetapi tujuan mereka memelihara Nabi adalah untuk mendapat upah, tidak lebih dari itu walaupun mereka sudah merasa ada ikatan yang kuat antara mereka dan Nabi.

Setelah itu, hiduplah Nabi dengan ibunya dalam keadaan serba kekurangan. Mereka juga ditemani dan di bantu oleh hamba Abdullah, Ummu Aiman. Dia terus menerus tinggal dengan Nabi dan Aminah sebagai pembantu yang sangat setia dan mulia pekertinya. Menyentuh tentang kehidupan Nabi ketika di bawah jagaan Ibunya, Aminah, mereka sering kekurangan makanan, dan barang keperluan harian, tetapi sudah menjadi kebiasaan kepada Nabi, jika makan Dia tidak akan makan hingga kenyang sebab Baginda tahu tentang keupayaan ibunya untuk mencari rezeki. Nabi  berpakaian dengan sekadar yang ada, Dia tidak meminta yang lebih, tidak pula merungut. Ketika umurnya 4-5 tahun pun Baginda sudah matang. Nabi sudah memahami erti kehidupan dan kesusahan hidup.

Tetapi mereka bernasib baik kerana ramai saudara-saudara Abdullah yang membantu Aminah. mereka sedar tentang keadaan adik ipar mereka yang serba kekurangan itu, setelah pemergian ketua rumah sebagai tempat bergantung sudah tentu hidup akan menjadi susah.


Thursday, June 9, 2011

0026 Peristiwa Dada Nabi saw Dibelah

Telah diriwayatkan oleh  Ibnu HishamIbnu Ishaq dan Ibnu Sa`d ketika Nabi berusia antara 2 hingga 4 tahun telah berlaku satu peristiwa yang menakutkan untuk keluarga Halimatus Sa'adiah. Perkara yang dianggap luar biasa bagi orang-orang seperti kita, iaitu tentang pembelahan dada Nabi. Peristiwa itu membuatkan Halimatus takut untuk memelihara Nabi dengan lebih lama.


Peristiwa berlaku ketika Nabi dan anak-anak Halimatus Sa'adiah sedang melihat anak-anak kambing Abu Kabsyah (suami Halimatus Sa'adiah) yang baru dilahirkan. Sedang mereka leka dengan perkara itu, tiba-tiba muncul 2 orang lelaki yang sangat elok rupa parasnya, berpakaian serba putih, dan terus mereka datang mengambil Nabi dan membawanya ke satu tempat berdekatan. Kedua-dua lelaki itu kemudian menidurkan Nabi kemudian membuka baju Nabi dan membelah dada Nabi. Tidak diketahui samada dada Nabi itu dibelah dengan tangan atau menggunakan alat pembedahan.


Perkara ini telah diceritaka kepada Halimatus Sa'adiah oleh salah seorang anaknya, yang berlari-lari mendapatkan ibu mereka


"Ibuuuu! ibuuu, Muhammad dibunuh, Muhammad dibunuh...!'


Mendengar jeritan anaknya itu Halimatus menjadi keras seperti batu kerana tergejut yang amat sangat. kemudian anaknya menyambung...


"Saudara saya orang Quraisy itu telah ditangkap oleh dua orang lelaki berpakaian putih. Setelah ia terlebih dahulu ditidurkan miring, lalu dibelah perutnya, yang membelahnya ialah kedua-dua orang yang menangkapnya itu. Kedua-duanya kelihatan menggerakkan badannya."


mendengar berita itu Halimatus Sa'adiah bergegas pergi mendapatkan Nabi di tempat yang diceritakan oleh anaknya tadi. Didapati Nabi berdiri dan kelihatan muka Nabi sangat pucat.


"Mengapakah engkau wahai anakku?" tanya Halimatus Sa'adiah


Nabi menjawab "Telah datang dua orang lelaki yang berbaju putih kepada Saya, kemudian menidurkan Saya, lalu membelah perut saya, kemudian keduanya mencari sesuatu dalam perut Saya, Saya tidak tahu apa yang di cari oleh kedua-dua lelaki tersebut."


Seterusnya Halimatus Sa'adiah terus membawa Nabi balik kerumah kerana bimbang perkara itu terjadi lagi.
Oleh kerana kebimbangan itu, Abu Kabsyah berkata kepada isterinya;


"Halimah! saya takut anak ini terkena apa-apa. Bawalah dia kembali kepada keluarganya sebelum terjadi apa-apa yang aku bimbangkan itu."


Selepas peristiwa itu, Abu Kabsyah tidak lagi membernarkan anak-anaknya dan Nabi bermain di kawasan yang difikirkan bahaya. Dia juga berpesan agar anak-anaknya menjaga Nabi dengan bersungguh-sungguh agar perkara yang sama tidak berulang lagi. Dikhuatiri jika ada orang yang berniat jahat terhadap Nabi. 


Diriwayatkan oleh Anas ra bahawa pembelahan itu dilakukan oleh Malaikat Jibrail as, dia membelah dan mengeluarkan hati Baginda dan membasuhnya dengan air zam-zam yang diisi didalam bekas yang diperbuat dari emas. Sambil Jibrail berkata " Dibahagian ini lah tempat Syaitan bersarang."


Didalam Fiqh Al-Sirah karangan Muhammad Sa`id Ramadan Al-Buti ada menyebut bahawa pembedahan tersebut adalah untuk membersihkan hati Baginda dari segi fizikal hati tersebut dan juga rohani, ia juga sebagai cara Allah swt mempersiapkan Baginda untuk menerima Wahyu kelak juga sebagai insan yang mak'sum.

Monday, June 6, 2011

0025 Halimatus Sa'adiah Ibu Susuan Nabi

Ketika kelahiran Nabi saw, menjadi kebiasaan kepada para ibu dari bangsa Arab Badwi yang tinggal jauh di pendalaman, datang ke kota Mekah untuk mencari bayi-bayi yang baru dilahirkan dususukan dan dipelihara. Ini kerana para ister-isteri pembesar Mekah selalunya akan mengupah ibu susuan dari desa untuk menyusu anak-anak mereka dan juga memelihara mereka setelah mereka melahirkan anak.


Mereka berduyun-duyun datang ke Mekah untuk mencari anak-anak yang baru dilahirkan. Terutamanya anak-anak pembesar Mekah. kerana upahnya yang lumayan. Malang kepada Aminah kerana dia telah kematian suami, iaitu Abdullah, berita itu telah tersebar hingga ke seluruh tempat. Maka wanita desa yang datang untuk menawarkan perhidmatan tidak singgah lansung ke rumah Aminah, kerana mereka tahu tidak akan ada upah diberi jika mereka susukan anaknya. 


Dan ketika harapan untuk Aminah hampir pudar, datanglah seorang wanita dari pendalaman iaitu dari perkampungan Bani Saad ke rumah Aminah. Wanita itu ialah Halimah binti Abu Zu'aib as-Sa'adiah yang lebih terkenal dengan nama Halimatus Sa'adiah. Dia juga merupakan isteri kepada al-Harith bin Abdul Uzza (Abu Kabsyah). Ketika semua wanita desa berebut-rebut mencari anak-anak pembesar Quraisy yang kaya. Halimatus Sa'adiah hanya melihat kerana dia seorang yang sangat lemah lembut dan penyabar. Ketika dia merayau-rayau di sekitar kota Mekah, akhirnya sampai lah dia di depan rumah Abdul Muttalib.


Pertama kali dia melihat anak kecil yang sangat comel dan sihat itu dengan tidak berpikir panjang terus dia menyatakan Hasratnya kepada Aminah dan Aminah pun bersetuju untuk memberi Nabi kepada Halimatus Sa'adiah untuk disusukan dan dipelihara. Halimatus Sa'adiah membawa Nabi pulang ke kampungnya iaitu di perkampungan Badwi Bani Saad bin Bakar yang terletak di antara kota Mekah dan Taif.


Sebelum Halimatus Sa'adiah mengambil Nabi saw, Ibunya iaitu Aminah sempat menyusukan Baginda selama lebih kurang seminggu, selepas itu Nabi disusukan pula oleh hamba Abu Lahab, Thuwaibah al-Aslamiyyah.


Thuwaibah juga menjadi ibu susu kepada bapa saudara Nabi iaitu Hamzah bin Abdul Muttalib, dan juga Abdullah bin Abdul Asad al-Makhzumi (sepupu Baginda) Anak kepada Birrah binti Abdul Muttalib.


Dalam perjalanan ke perkampungan Bani Saad dari Mekah, pelbagai perkara yang menakjubkan berlaku kepada keluarga Halimatus Sa'adiah.


Halimatus Sa'adiah bercerita;


"Tahun itu tahun kemarau. Tidak ada satu pun yang tinggal kepada kami, Saya berangkat bersama suami dan seorang anak, berangkat menyertai ibu-ibu lain. dengan menunggang keldai yang keputihan selain dari itu kami juga membawa seekor unta tua yang tidak lagi mengeluarkan susu walaupun setitik. Kami tidak dapat tidur kerana keadaan itu membuatkan anak saya sering menangis kelaparan keran tiasa susu. Air susu saya tidak lagi dapat mengenyangkannya, susu unta juga tidak ada."


"pada malam itu saya berangkat dengan menunggangi keldai saya yang cepat lelah kerana kurus dan lemah. Akhirnya sampai lah kami ke Mekah untuk mencari anak yang akan disusukan. Sebenarnya Rasulullah saw di tawarkan kepada setiap ibu-ibu yang lain, tetapi semua menolaknya, kerana anak itu anak yatim."


"Saya pun berkatalah dalam diri saya. Demi Allah! saya mesti mengambil anak yatim tersebut, biarlah saya ambil dia."


perkara itu pun dipersetujui oleh suami Halimatus Sa'adiah.


"Tiada apa yang mendorong saya untuk mengambilnya kerana tidak ada anak lain untuk disusukan. saya pun mengambil cucu Abdul Muttalib itu dan meletakkan di pangkuan saya, Dia terus menyusu minum sampai sepuas-puasnya. Saudara sesusu Nabi (anak Halimatus Sa'adiah) pun turut menikmati susu saya hingga kenyang kemudian keduanya terus tidur. padahal sebelum itu saya kekeringan susu."


"Suami saya pergi ke tempat unta kami, dilihatnya unta kurus itupun sudah penuh dengan susu. Lalu diperahnya dan dibawa pulang. Kami pun dapat tidur malam itu dengan nyenyak. Suami saya berkata pada saya."


"Percayalah Halimah. Demi Allah! Bahawa engkau sudah mengambil anak yang berkat sekali."


"Demikianlah kamipun menuju ke tempat kediaman kami bersama dengan Muhammad. Demi Allah! perjalanan kami amat cepat sekali. Tidak ada himar teman-teman saya yang dapat mengikuti perjalanan kami. Sehingga mereka berkata."


"Wahai Halimah! Kasihanilah sedikit kepada kami. Bukankah ini himar engkau yang kelmarin yang engkau bawa ke Mekah?"


 "ya. "


"Demi Allah! Tentu ada sesuatu yang terjadi."


"Demikianlah kami sampai di perkampungan Bani Saad. Saya tidak tahu apakah ada lagi tempat yang lebih kemarau dari tempat kami itu. Sungguh pun demikian waktu kami sampai, saya lihat semua kambing-kambing kami semuanya sudah kenyang dan susunya pula penuh. Lalu kami perah dan minum. Sedangkan teman-teman yang lain setitik pun tidak ada susu pada kambing-kambing mereka." 


ini menimbulkan kehairanan pada jiran-jiran Halimatus Sa'adiah, hingga mereka pun berkata.


"Wahai Halimah! Sungguh beruntung kamu kerana memelihara anak Aminah itu. Sesungguhnya anak itu membawa keberkatan kepada mu."


Ada juga jiran Halimatus Sa'adiah berkata


"Celaka kita, lepaskanlah kambing-kambing ke tempat Halimah melepaskan Kambingnya."


Tetapi setelah kembali dari tempat ragut kambing-kambing Halimatus Sa'adiah, Kambing-kambing mereka pulang dengan lapar juga, dan tidak ada yang mengeluarkan susu. Begitulah terus menerus Halimatus Sa'adiah dan keluarganya mendapat kurniaan rezki dari Tuhan hingga genaplah umur Nabi 2 tahun.


Nabi dipelihara oleh Halimatus Sa'adiah sekeluarga di Desa Bani Saad hingga usia Baginda 2 tahun. Abu Kabsyah dan anak perempuannya Asy-Syima' juga turut menjaga Nabi.


Setelah Genap 2 tahun, Halimatus Sa'adiah membawa Nabi pulang ke pangkuan Ibu kandungnya, Aminah.


Aminah memelihara Nabi hanya sebentara sahaja kerana Halimatus Sa'adiah meminta keizinan dari Aminah untuk memelihara Nabi semula. Ini kerana dia terlalu sayang kan Nabi hingga dia tidak sanggup berpisah denganNya. Selepas itu Nabi dibawa pulang sekali lagi ke ke perkampungan Bani Saad, dibesarkan disana hingga usia baginda 4 tahun 2 bulan iaitu lebih kurang 50 bulan.


Maka hidup lah Nabi di desa yang aman dan tenteram itu. Pertuturan di kalangan Bani Saad membuatkan Nabi bertutur dalam bahasa Arab yang sangat fasih. ini kerana bahasa Arab Kabilah Bani Saad adalah satu-satunya kabilah yang paling fasih bahasa Arabnya. Nabi pernah bersabda;


"Aku adalah orang yang paling fasih diantara kamu, dan aku orang Quraisy yang dibesarkan di dusun keluarga Bani Saad bin Bakar."

Saturday, June 4, 2011

0024 Kegembiraan Abu Lahab

Bapa saudara Nabi iaitu Abdul Uzza atau lebih dikenali dengan gelaran Abu Lahab, adalah antara orang yang paling gembira dengan kelahiran Baginda Nabi. Setelah berita tentang adik iparnya iaitu Aminah melahirkan bayi yang sangat comel dan sihat, dia lah orang yang terserlah kegembiraannya. Disebabkan hal itu dia telah memerdekakan hambanya iaitu Thuwaibah al-Aslamiyyah, wanita dari bani Aslam. Abdul Uzza lah yang menyuruh Thuwaibah untuk menyusukan Nabi sementara mendapat penyusu upahan. Disebabkan Thuwaibah berhutang dengan Abu Lahab dengan banyak sekali, dia telah menjadi hamba kepada Abu Lahab kembali.


Kerana gembiranya Abu Lahab, dia telah mengadakan majlis Aqiqah pada hari ke tujuh dari hari kelahiran Nabi, dengan menyembelih beberapa ekor unta. Inilah Majlis Maulidur Rasul yang pertama diadakan dalam sejarah Rasulullah saw.


Sedikit Kisah Abu lahab setelah kerasulan Nabi.
Setelah Nabi berkahwin dengan Siti Khadijah binti Khuwailid, Abu Lahab telah menjodohkan anak-anak lelakinya dengan puteri-puteri Nabi. Iaitu anak sulungnya Utbah dengan Ruqaiyyah, dan anak keduanya Utaibah dengan Ummu Kalthum. Ini kerana dia sangat senang dengan Muhammad. Dan anak-anaknya itu pun sangat mencintai anak-anak Rasulullah, yang cantik dan bijak seperti ayah mereka. Tetapi kebahagiaan itu hanya sementara apabila Muhammad diangkat oleh Allah menjadi Rasul, Abu Lahab telah menjadi penentangnya yang utama. Beliau menyuruh kedua-dua anak lelakinya menceraikan isteri masing-masing. Maka kdeua-duanya menceraikan isteri masing-masing. Utbah merasa sangat berat untuk menceraikan isterinya Ruqaiyyah, kerana dia sangat menyayangi isterinya itu, tambahan pula puteri Nabi itu sangat cantik orangnya, dan pandai pula mengambil hati. Lain pula halnya dengan Utaibah, dia dengan senang hati menceraikan isterinya Ummu Kalthum, kerana hatinya juga keras seperti hati ayahnya.


Selepas peristiwa itu, Utaibah menghantar puteri nabi iaitu bekas isterinya Ummu Kalthum ke rumah Nabi. Dia juga mengambil kesempatan menendang pinggang Nabi hingga Nabi jatuh. Menyebabkan Nabi tidak dapat menahan marahnya lagi hingga Baginda menyumpah Utaibah.


"Wahai Utaibah! Nanti kamu akan dibaham oleh salah seekor daripada singa-singa Allah."


Ketika Abu Lahab dan anaknya Utaibah dalam perjalanan ke tempat perniagaan (boleh jadi ke Syam atau Yaman) mereka telah berhenti berehat dan tidur disatu tempat. Disebabkan mereka risau akan sumpah Nabi terhadap Utaibah itu, maka Abu Lahab menyuruh anaknya tidur di tengah-tengah rombongan peniaga. Tetapi singa datang di waktu semua ahli rombongan telah tidur, dan menerkam ke tengah lalu mematahkan leher Utaibah lalu matilah dia di situ juga. Kehilangan anaknya Utaibah itu membuatkan Abu Lahab merasa sedih dan menyemarakkan api kebencian terhadap Muhammad saw.


Dialah antara orang yang namanya diabadikan dalam al-Quran, sebagai orang yang sangat celaka. Kisahnya disebutkan dalam surah al-Lahab, sebagai orang yang dilaknat Allah swt hingga hari Kiamat.





Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  1. Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.
  2. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan.
  3. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.
  4. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar.
  5. Yang di lehernya ada tali dari sabut.

Tuesday, May 31, 2011

0023 Bagaimana Nabi Dinamakan Muhammad?

Setelah Nabi dilahirkan, Siti Shifa' terus memandikannya dan memakaikannya dengan kain putih yang bersih seperti keadaan Nabi ketika itu juga. Dalam pada itu Siti Aminah pula tidak henti-henti menangis, memikirkan yang Nabi tidak lagi dapat melihat wajah ayahnya. Kehidupan Nabi selepas ini tidak akan menjadi sama seperti kanak-kanak lain yang mempunyai bapa. Siti Aminah sedih melihat anak sulungnya itu tidak akan menikmati pelukan ayah, tidak dapat bermain-main dengan ayahnya seperti kanak-kanak lain. Tetapi dia redha akan keadaan yang menimpa dia dan anaknya itu. Selepas selesai membalut Nabi dengan kain putih, Siti Shifa' memberitahu Aminah yang dia akan membawa anak itu untuk di tunjukkan pada Abdul Muttalib yang sedang bermunajat di sisi Ka'abah.


Setelah sampai di sana Siti Shifa' terus memberi Nabi pada Datuknya. Abdul Muttalib mengambil Nabi dari Siti Shifa dengan perasaan yang terharu dan sangat gembira. Dengan tidak membuang masa, Dia terus masuk kedalam Ka'abah sambil menimang-nimang cucu kesayangannya itu. Setelah beberapa lama berada didalam Ka'abah dia terus pergi mendapatkan menantunya yang masih lagi lemah kesan dari bersalin tadi. Dalam benaknya dia telah mendapat ilham untuk menamakan cucu kesayangannya. Dia membawa Nabi didepan Aminah bertemankan Siti Shifa' di sebelah lalu dia berkata sambil menimang-nimang cucunya itu;


"Ayah mahu menamakan bayi ini Qutsam."


Tersentak dengan pernyataan itu Siti Aminah terus membantah cadangan mertuanya itu dengan lembut;


"Wahai ayah! Sesungguhnya saya telah bermimpi ada satu lembaga yang menyuruh saya namakan anak ini Muhammad."


Tergejut dengan nama yang dikatakan oleh menantu nya itu, hingga membuatkan dia terdiam seketika. Nama itu belum pernah diberikan oleh orang Arab kepada anak-anak lelaki mereka. Jika ada pun amatlah jarang sekali orang Arab waktu itu menggunakan nama Muhammad. Itu pun setelah mereka mendengar perkabaran akan ada Nabi  Akhir zaman yang akan dilahirkan oleh pendita-pendita Yahudi, dan pengamal-pengamal kitab terdahulu.


Sejarah merakamkan cuma 3 orang sahaja yang menggunakan nama Muhammad ketika itu, salah seorang daripadanya adalah Muslamah dari Yathrib, yang menamakan anaknya dengan nama Muhammad, yang akhirnya menjadi sahabat Nabi.


Nama Muhammad bererti Insan Yang Terpuji


7 Hari dari hari  kelahiran Nabi, Abdul Muttalib mengadakan Aqiqah dengan menumbangkan beberapa ekor kambing. Dia menjemput kesemua pembesar-pembesar Quraisy, sebagai tanda syukurnya pada Allah swt keatas cucunya itu, sebagai ganti kepada anaknya yang telah meninggal dunia. Jika Abdul Muttalib tahu akan takdir yang telah ditentukan oleh Allah swt kepada cucunya Muhammad itu kelak, tentu dia lebih-lebih gembira dan bersyukur.

Saturday, May 28, 2011

0022 Kelahiran Rasulullah saw Penutup Segala Nabi dan Rasul





Peristiwa paling bersejarah itu berlaku pada malam isnin di bulan Rabiul Awwal pada 12 haribulan tepat dengan 570 masehi, Lahirlah seorang bayi lelaki yang sempurna sifatnya. Inilah peristiwa yang menjadi titik tolak dan perubahan kepada seluruh alam, bukan sahaja setakat manusia malah seluruh makhluk. Subhanallah.


Menurut sumber (ketinggian Risalah Nabi Muhammad saw) kelahiran Rasulullah saw di sambut oleh Ummu Aiman, hamba kepada Nabi, dialah yang seterusnya mengasuh dan merawat Nabi ketika kecil. tapi ada setengah riwayat mengatakan yang menyambutnya adalah Siti Shifa' ibu kepada Abdul Rahman bin Auf.


Banyak sumber-sumber sejarah merakamkan peristiwa-peristiwa kerasulan (Irhas) ketika peristiwa kelahiran Rasulullah saw. antaranya ialah;


info ; irahs terbahagi kepada 3 iaitu;

  1. Tanda-tanda akan lahirnya seorang Nabi dalam kitab-kitab terdahulu
  2. Tanda-tanda yang diberikan dalam mimpi-mimpi orang-orang alim.
  3. dan akhir sekali ialah peristiwa aneh yang berlaku ketika kelahiran Nabi.


  • Ketika mengandungkan Nabi, Siti Aminah tidak merasa sakit seperti ibu-ibu mengandung lain. 
  • Aminah juga didatangi oleh malaikat memberitahu yang dia sebenarnya telah hamil dan sedang mengandungkan seorang Nabi dan Rasul yang membawa rahmat keseluruh alam.
  • Ketika Aminah sedang mengandung, Allah swt memerintahkan malaikat supaya di tutup pintu-pintu Neraka dan dibuka pintu-pintu Syurga, dan Allah swt juga memerintahkan supaya disebarkan berita kelahiran Nabi kekasihNya itu ke seluruh penghuni langit.
  • Bumi juga meraikan detik hebat ini, ketika Nabi masih lagi dalam kandungan tanah-tanah menjadi subur dan pohon-pohon menjadi rendang dan lebat berbuah.
  • Peristiwa pelik dan aneh yang disaksikan oleh Abdul Rahman bin Auf ialah kenapa anak sulung kepada Aminah itu tidak menangis ketika Dia keluar dari perut Aminah, tidak seperti anak-anak orang yang lain, tetapi sebaliknya Nabi kita bersin ketika keluar dari perut ibuNya. seperti bapa manusia kita Adam as.
  • ketika itu rumah Abdul Muttalib diterangi cahaya pelita dan damar sahaja, tetapi suasana berubah serta merta ketika Nabi dilahirkan. Rumah Abdul Muttalib menjadi terang seperti siang kesan dari cahaya yang terpancar dari Nabi.
  • Keadaan di Ka'abah pula, semua berhala-berhala di sekeliling Ka'abah jatuh seperti di tolak oleh suatu yang kuat. Dalam satu sumber pula mengatakan bahawa ketika itu Abdul Muttalib sedang bermunajat kepada Allah swt, dan kemudian kesemua berhala-berhala keliling Ka'abah itu jatuh, dan Abdul Muttalib mendengar satu suara dari Ka'abah seolah-olah Ka'abah itu yang bercakap, ia mengatakan "telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui."
  • Ketika Rasulullah saw lahir satu cahaya yang sangat kuat terpancar dan menuju kelangit seperti anak panah dan menerangi langit. Dalam riwayat terdahulu menyatakan bahawa cahayanya dapa dilihat hingga ke Negeri Syam, yang mengambil masa 15 hari perjalanan dari Mekah.
  • Istana Kisra di Parsi mendapat goncangan yang kuat, kesannya 14 tiang utama dalam istana itu retak dan menyebabkan Istana itu runtuh. 
  • Api besar yang menjadi objek sembahan para penganut agama Majusi yang tidak pernah terpadam selama lebih seribu tahun, telah terpadam ketika hari kelahiran Rasulullah saw
  • Ada satu riwayat menyatakan bahawa Tasik Sava(penulis masih lagi membuat kajian dimanakah lokasi tasik ini) menjadi Kering dan mendap ketika Kelahiran Nabi.
  • Ketika kelahiran Nabi Muhammad saw, langit menjadi cerah dan sangat cantik, dan penanda bahawa semua berita-berita dari langit telah terhalang dari pengetahuan Jin dan syaitan.
Menurut satu sumber An-ni’matul Kubraa’alal Aalam hasil tulisan Imam Shihabuddin Ahmad bin Hajar Al-Haitami Asy-syafi’i  Irhas berlaku sebelum Aminah melahirkan Nabi lagi iaitu pada setiap malam bermula pada 1 Rabiul Awwal hingga malam kelahiran Nabi 12 Rabiul Awwal antaranya ialah;


Pada Malam Pertama
Allah swt melimpahkan segala kedamaian dan ketenteraman yang luar biasa sehingga Aminah merasakan dirinya amat tenang dan damai... tidak pernah dirasakan sebelum ini.
Pada malam ke 2 :
Datang seruan berita gembira kepada Aminah yang menyatakan dirinya akan mendapati anugerah yang luar biasa dari Allah swt.
Pada malam ke 3 :
Aminah terdengar dalam mimpinya “Wahai Aminah… sudah dekat saat engkau melahirkan Nabi yang agung dan mulia, Muhammad Rasulullah saw yang senantiasa memuji dan bersyukur kepada Allah swt.”
Pada malam ke 4 :
Aminah mendengar secara Jelas dan nyata tasbih yang diucapkan oleh para Malaikat. tidak pula diketahui samaada hal ini berlaku ketika Aminah dalam keadaan sedar atau tidak.
Pada malam ke 5 :
Aminah bermimpi dengan Nabi Allah Ibrahim as.
Pada malam ke 6 :
Aminah bermimpi melihat cahaya Nabi Muhammad saw memenuhi alam semesta.
Pada malam ke 7 :
Siti Aminah melihat para malaikat silih berganti saling berdatangan mengunjungi kediamannya membawa kabar gembira sehingga kebahagiaan dan kedamaian semakin memuncak.
Pada malam ke 8 :
Siti Aminah mendengar seruan Malaikat memanggil dan memberitahu, suara tersebut terdengar dengan jelas mengatakan “Bahagialah wahai seluruh penghuni alam semesta, telah dekat kelahiran Nabi agung, Kekasih Allah swt Pencipta Alam Semesta.”
Pada malam ke 9 :
Allah swt semakin mencurahkan rahmat belas kasih sayang kepada Siti Aminah sehingga tidak ada sedikitpun rasa sedih, susah, sakit, dalam jiwa Siti Aminah.
Pada malam ke 10 :
Siti Aminah melihat tanah Tho’if dan Mina ikut bergembira menyambut kelahiran Baginda Nabi Muhammad saw.
Pada malam ke 11 :
Siti Aminah melihat seluruh penghuni langit dan bumi ikut bersuka cita menanti kelahiran Rasulullah saw.
Pada Malam Kelahiran
 Siti Aminah bersendirian di rumah tidak ditemani oleh sesiapa pun. (hal ini bertentangan sekali dengan fakta dari sumber diatas- dimana Siti Aminah ditemani oleh Ummu Aiman dan Siti Shifa')
Tiba-tiba Siti Aminah melihat tiang rumah Abdul Muttalib terbelah dan muncul 4 orang perempuan yang sangat jelita berpakain putih dan berbau sangat harum.
Wanita pertama datang berkata,”Sungguh berbahagialah engkau wahai Aminah, sebentar lagi engkau akan melahirkan Nabi yang agung, junjungan semesta alam. Beliaulah Nabi Muhammad saw. Kenalilah aku, bahwa aku adalah isteri Nabi Allah Adam as, ibunda seluruh uamt manusia., aku diperintahakan Allah untuk menemanimu.”
Kemudian datanglah wanita kedua yang menyampaiakan khabar gembira, “Aku adalah isteri Nabi Allah Ibrahim as diperintahkan Allah swt untuk menemanimu.”
Begitu pula menghampiri wanita yang ketiga,”Aku adalah Asiyah binti Muzahim, diperintahkan Allah untuk menemanimu.” (isteri Fir'aun)
Datanglah wanita ke empat,”Aku adalah Maryam, ibunda Isa as menyambut kehadiran putramu Muhammad Rasulullah.”
Ketika Siti Aminah semakin merasa tenang dalam dirinya, datang lah mahkluk yang bercahaya bersilih ganti mendoakan kesejahteraan kepada nya dan mengucapkan pujia-pujian kepada Allah swt.
Seterusnya Siti Aminah melihat atap rumah terbuka dan terlihat oleh beliau bermacam-macam bintang di angkasa yang sangat indah berkilau saling beterbangan.
Allah memerintahkan kepada Malaikat Ridhuan agar memberitahu seluruh bidadari syurga agar berdandan cantik dan rapi, memakai segala macam bentuk perhiasan kain sutera dengan bermahkota emas, intan permata yang bergemerlapan, dan menebarkan wangi-wangian syurga yang harum semerbak ke segala arah. sempena kelahiran Kekasih Allah swt.
Lalu Allah swt memanggil : “Yaa Jibril… serukanlah kepada seluruh arwah para nabi, para rasul, para wali agar berkumpul, berbaris rapi, bahwa sesungguhnya Kekasihku cahaya di atas cahaya, agar disambut dengan baik dan suruhlah mereka menyambut kedatangan Nabi Muhammad saw.
Yaa Jibril… perintahkanlah kepada Malaikat Malik agar menutup pintu-pintu neraka dan perintahakan kepada Malaikat Ridwan untuk membuka pintu-pintu syurga dan bersoleklah engkau dengan sebaik-baiknya keindahan demi menyambut kekasihKu Nabi Muhammad saw.
Yaa Jibril… bawalah seluruh malaikat yang ada di langit, turunlah ke bumi, ketahuilah KekasihKu Muhammad saw telah siap untuk dilahirkan dan sekarang tiba saatnya Nabi Akhiruzzaman.”
Dan turunlah semua malaikat, maka penuhlah isi bumi ini dengan malaikat. Lalu ibunda Rasulullah saw di bumi, beliau melihat malaikat itupun berdatangan membawa kayu-kayu gahru yang wangi dan memenuhi seluruh alam. Pada saat itu pula mereka semua berzikir, bertasbih, bertahmid, dan pada saat itu pula datanglah burung putih berkilau cahaya mendekati Siti Aminah dan mengusapkan sayapnya pada Siti Aminah, maka pada saat itu pula lahirlah Muhammad Rasulullah saw dan tidaklah Sayyidah Aminah melihat kecuali cahaya, tak lama kemudian terlihatlah jari-jari Nabi Muhammad saw bersujud kepada Allah seraya mengucapkan, “Allahu Akbar.. Allahu Akbar.. Walhamdulillahi katsiro, wasubhanallahibukrotan wa asiilaa.”
Semakin memuncaklah kegembiraan seluruh alam dunia dan semesta dan terucaplah “Yaa Nabi Salam Alaika… Yaa Rasul Salam Alaika… Yaa Habib Salam Alaika… Sholawatullah Alaika.. ”
Matanya bagaikan telah dipakaikan sifat mata, senyum indah terpancar dari wajahnya dan hancurlah berhala-berhala dan bergembiralah semua alam semesta menyambut kelahiran Nabi yang mulia…
(Bagaimanapun sumbernya belum pernah didengar sebelum ini... sekadar merujuk kepada sumber dari buku yang di nyatakan diatas )




Kelahiran Nabi Muhammad saw bukan sahaja dirasai oleh penduduk setempat ketika itu atau pun keluarga Abdul Muttalib tetapi di raikan oleh seluruh alam. Nabi pembawa rahmat seluruh alam bukan setakat alam dunia bahkan alam Akhirat sekalipun.